WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AKTA 342: PDK TIADA KUASA TAHAN PESAKIT - DZULKEFLY

03/12/2024 07:32 PM

PUTRAJAYA, 3 Dis (Bernama) -- Pegawai Diberi Kuasa (PDK) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) (akta sedia ada) tiada kuasa untuk menahan seseorang pesakit penyakit berjangkit seperti didakwa segelintir pihak, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata fungsi serta bidang tugas PDK hanya terhad kepada skop pencegahan dan pengawalan penyakit berjangkit termasuk menyiasat serta mendapatkan maklumat benar dan tepat berkaitan sesuatu penyakit.

“Ini satu silap faham dan salah tanggap yang dipanjangkan (ditularkan) sehingga ada yang mengatakan bahawa PDK dan Kementerian Kesihatan (KKM) mempunyai kuasa menahan.

“Ia (tahanan) adalah isolasi bagi putuskan penularan rantaian transmisi penyakit demi kesihatan awam dan juga kepentingan pesakit itu sendiri,” katanya dalam sidang media khas berhubung Akta 342 di sini hari ini.

Dzulkefly menjelaskan PDK juga tidak mempunyai kuasa penuh di bawah Kanun Tatacara Jenayah namun mereka boleh memohon bantuan daripada anggota Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen atau pegawai keselamatan lain sekiranya perlu, terutamanya jika ada insiden PDK dikasari dan sebagainya.

PDK merujuk kepada mana-mana pegawai kesihatan, pegawai kesihatan persekitaran atau pegawai yang dilantik oleh menteri di bawah Seksyen 3 Akta 342.

Terdapat segelintir pihak yang menyalahfahamkan konteks ‘ditahan’ oleh PDK adalah merujuk kepada tahanan lokap atau tahanan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), sehingga menimbulkan kegusaran ramai.

Dzulkefly berkata PDK diberi kuasa untuk menyiasat dan mendapatkan maklumat berkenaan penyakit, sejarah perjalanan serta kontak rapat selain boleh mengeluarkan arahan kepada mana-mana individu yang disyaki dijangkiti menjalani pengasingan dan pengawasan di mana-mana tempat yang difikirkan patut, tidak terhad di stesen kuarantin atau hospital.

Untuk rekod, Dewan Rakyat pada 14 Okt meluluskan pindaan Akta 342 yang bertujuan memastikan kesiapsiagaan negara menangani ancaman penyakit berjangkit, dan lulus sebulat suara di Dewan Negara pada 2 Dis lepas.

Pindaan akta itu juga dijangka diwartakan pada suku pertama tahun hadapan.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa kuasa Ketua Pengarah Kesihatan (KPK) di bawah akta berkenaan juga merujuk kepada langkah-langkah yang diperlukan untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit sahaja.

“Namun, apa-apa tindakan dan arahan yang dikeluarkan oleh KPK tertakluk sepenuhnya kepada budi bicara Menteri Kesihatan iaitu menteri ada kuasa untuk membatalkan, mengubah atau menyesuaikan arahan KPK agar selari dengan dasar dan strategi kesihatan awam negara,” katanya.

Beliau turut menafikan dakwaan kononnya pindaan Akta 342 dibuat secara tergesa-gesa malah menegaskan perbincangan mengenai perkara itu telah dibuat seawal 2021 lagi.

Sebanyak 13 sesi libat urus telah dijalankan sejak 6 Feb hingga November lepas melibatkan 113 agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

“Pindaan ini juga telah melalui perbahasan yang teliti melibatkan 23 Ahli Parlimen di Dewan Rakyat dan dibahaskan oleh 13 Senator di Dewan Negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan