WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BANJIR: PENDUDUK TUMPAT NIKMATI PERKHIDMATAN TRAK TUNDA KENDERAAN SECARA PERCUMA

14/12/2024 08:58 PM

TUMPAT, 14 Dis (Bernama) -- Rata-rata penduduk di Tumpat yang terjejas akibat banjir baru-baru ini menzahirkan rasa syukur apabila menerima perkhidmatan tunda secara percuma untuk kenderaan mereka yang terkandas akibat bencana berkenaan.

Perkhidmatan itu diuruskan oleh Komuniti Polis Tumpat bersama NGO Group Towing, Carrier dan 4x4 Kelantan di Pantai Sri Tujuh, di sini hari ini.

Kakitangan awam Mazni Yahya, 50, berkata banjir pada episod lepas telah menenggelamkan lima kereta milik keluarganya di Kampung Neting kerana tidak menjangkakan paras air begitu tinggi.

Menurutnya, tiga kereta yang tenggelam telah dihantar ke bengkel dan menelan kos lebih RM900 untuk setiap kali penghantaran.

"Kos agak tinggi dengan barangan rumah yang rosak, maka program sedemikian membantu meringankan beban saya kerana kereta dihantar secara percuma," katanya kepada pemberita pada program itu.

Seorang lagi mangsa Ismail Abdul Rahman, 44, tidak melepaskan peluang mendapatkan khidmat percuma itu berikutan empat keretanya tenggelam dalam banjir itu kerana tidak sempat dialihkan.

"Enjin empat kereta saya langsung tidak boleh dihidupkan selain dipenuhi dengan selut dan tidak boleh bergerak, hanya boleh dibawa dengan bantuan lori tunda. Alhamdulillah, program tunda kenderaan secara percuma ini sangat membantu menjimatkan perbelanjaan saya.

"Barangan elektrik banyak yang rosak kerana paras air banjir naik sehingga dada dan tidak menyangka ia berlaku dengan begitu pantas," katanya.

Sementara itu, Penasihat Persatuan Towing Kelantan/Terengganu Wan Mohd Izani Wan Hassan berkata sebanyak 70 trak penunda dari Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kuala Lumpur turut mengambil bahagian.

Beliau berkata dengan jumlah trak yang ada, dijangka dapat menunda lebih 200 kenderaan untuk program sehari.

“Kesemua pemandu trak penunda ini sebenarnya saling berkerjasama walaupun dari negeri berlainan terutama dalam kerja-kerja amal.

“Selain membantu orang ramai, kita juga turut menjalankan kerja amal lain seperti membersihkan masjid dan sekolah tahfiz yang terkesan akibat banjir,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat Supt Ibrahim Hussin berkata program ini ialah kerjasama antara Polis Daerah Tumpat dengan NGO bagi meringankan beban masyarakat yang terjejas teruk akibat banjir.

Beliau berkata kejadian banjir yang berlaku pada tahun ini adalah di luar jangkaan susulan banyak rumah dan kenderaan ditenggelami air kerana tidak sempat dikeluarkan dari kawasan penempatan penduduk.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan