WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LUBANG BENAM : JALAN LOJING-GUA MUSANG DITUTUP BERMULA HARI INI - JKR

14/12/2024 11:13 PM

GUA MUSANG, 14 Dis (Bernama) -- Laluan FT185 Seksyen 78.60 Jalan Lojing–Gua Musang ditutup sepenuhnya kepada semua jenis kenderaan bermula hari ini sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak berikutan terdapat lubang benam di kawasan itu.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan dalam kenyataan memaklumkan lubang benam sedalam sembilan meter itu berlaku berdekatan Kampung Jek Jok di sini pada 11.18 pagi tadi.

"Sila rancang perjalanan anda dan patuhi papan tanda yang telah disediakan. Berhati-hati di jalan raya," menurut kenyataan itu yang dimuat naik dalam Facebook.

Sebelum ini, kejadian sama berlaku di lokasi berhampiran pada 23 Nov lepas.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo ketika dihubungi Bernama berkata laluan berkenaan ditutup dari kedua-dua arah.

Beliau berkata pengguna jalan raya dari Tanah Tinggi Lojing ke Gua Musang atau Gua Musang ke Cameron Highlands di Pahang dan ke Ipoh di Perak perlu menggunakan laluan lain.

"Kawasan lubang benam baharu ini terletak kira-kira lima meter dari lokasi kejadian lubang benam pertama dan tindakan segera telah diambil oleh pihak JKR dengan membaiki lubang benam itu," katanya.

Pada 23 Nov lepas, sebuah lubang benam sedalam enam meter berlaku di Jalan Lojing–Gua Musang di Kampung Jek Jok, Pos Brooke, namun telah dibaiki JKR.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan