KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Operasi Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) yang menghubungkan Shah Alam, Selangor dengan kawasan sekitarnya, dijadual bermula pada 30 Sept, 2025, selepas projek itu diserahkan sepenuhnya kepada Prasarana Malaysia Bhd oleh kontraktor utama pada 31 Julai ini.
Kementerian Pengangkutan (MOT) menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Rabu berkata kemajuan keseluruhan projek itu setakat ini mencapai 98.16 peratus.
Ujian pengoperasian tren tanpa penumpang akan dilakukan dalam dua peringkat bagi memastikan perkhidmatan LRT3 selamat untuk pengguna.
“Dua ujian ini yang merangkumi pematuhan, ketahanan serta keselamatan sistem kereta api dan prosedur operasi standard (SOP) melibatkan ‘Trial Run’ (TR) yang akan dijalankan serentak dengan ujian ‘Fault Free Run’ (FFR) oleh pihak kontraktor utama Setia Utama LRT3 Sdn Bhd.
“Anggaran tempoh pengujian adalah selama 75 hari. Keputusan ujian FFR ini akan dinilai oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berdasarkan aspek-aspek keselamatan, pematuhan standard dan jaminan sistem kereta api yang tertentu,” katat MOT.
Kenyataan itu sebagai menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam) mengenai status terkini projek LRT3, tempoh pelaksanaan ‘trial run’ tanpa penumpang serta sasaran pembukaan operasi sepenuhnya menjelang suku ketiga tahun 2025.
Menurut kementerian, ujian TR/FFR dijangka bermula pada pertengahan April 2025 dan selesai pada akhir Jun 2025.
Selepas itu, ujian operasi atau “Trial Operation” (TO) akan dijalankan oleh Rapid Rail Sdn Bhd sebagai pengendali berlesen kereta api dengan bantuan teknikal daripada kontraktor utama sebaik ujian TR dan FFR selesai serta mendapat kelulusan APAD.
“Anggaran tempoh pengujian ini adalah selama 60 hari. Ujian TO ini dijangka bermula pada Julai 2025 dan selesai pada akhir Ogos 2025,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial