WILAYAH - SARAWAK > BERITA

HUTANG ISI RUMAH RM1.63 TRILION, ASET KEWANGAN RM3.4 TRILION SETAKAT AKHIR DISEMBER 2024

27/02/2025 09:27 AM

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) -- Hutang isi rumah negara berjumlah RM1.63 trilion setakat akhir Disember 2024 atau bersamaan dengan 84.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kementerian Kewangan (MoF) berkata jumlah hutang itu jauh lebih rendah daripada aset kewangan isi rumah yang mencecah RM3.4 trilion atau bersamaan 178.2 peratus daripada KDNK.

“Standard pinjaman berhemat oleh bank berdasarkan Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab yang dilaksanakan sejak 2012 terus memainkan peranan penting dalam memastikan pengumpulan hutang isi rumah terkawal dan selaras dengan keupayaan membayar balik hutang,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat disiarkan di laman sesawang Parlimen pada Rabu.

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh) mengenai langkah kerajaan membantu satu per tiga daripada isi rumah di negara ini yang mempunyai nisbah khidmat hutang (DSR) melebihi 60 peratus dan terdedah kepada risiko muflis jika berlaku peningkatan kadar faedah, kehilangan pekerjaan atau inflasi.

Menjelaskan selanjutnya, MoF berkata menerusi pelaksanaan dokumen dasar ini, DSR bagi isi rumah terus berada pada paras hemat dengan median DSR pinjaman terkumpul di paras 34 peratus manakala median DSR bagi pinjaman baharu diluluskan adalah 41 peratus pada akhir Disember 2024.

Pada masa sama, katanya, kerajaan dan Bank Negara Malaysia terus mengambil pendekatan berhemat dalam menangani risiko keberhutangan isi rumah bagi memastikannya tidak menimbulkan kesan negatif ke atas daya tahan isi rumah serta kestabilan sistem kewangan negara.

“Selain pelaksanaan Dokumen Dasar Amalan Pembiayaan Bertanggungjawab, usaha berterusan turut merangkumi peningkatan tahap celik kewangan melalui Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN) dan Bulan Literasi Kewangan (FLM) serta bantuan bayaran balik pinjaman melalui institusi kewangan dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), khususnya bagi peminjam dengan DSR tinggi.

“Bagi mengawal pertumbuhan hutang, kerajaan memastikan perumahan kekal mampu milik melalui program seperti Program Perumahan Rakyat (PPR) dan PR1MA serta memperkukuh sistem pengangkutan awam yang lebih efisien,” kata kementerian itu.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan