LANGKAWI, 10 Nov (Bernama) -- Enam lagi mayat imigran, dipercayai mangsa bot karam, ditemukan terapung oleh pihak berkuasa Thailand di perairan sempadan Malaysia-Thailand semalam.
Penemuan terbaharu itu menjadikan keseluruhan mangsa yang ditemui setakat ini seramai 26 orang, iaitu 13 ditemukan masih hidup, manakala 13 lagi disahkan meninggal dunia.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata pihak berkuasa Thailand turut menjalankan operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) di kawasan perairan mereka.
“Di pihak Thailand, mereka melaksanakan operasi CARILAMAT dan memaklumkan bahawa enam mayat telah ditemui, dan tiada mangsa yang hidup.
“Kita menjangka hari ini mungkin ada lagi penemuan mangsa baharu berdasarkan trend arus laut yang membawa ke perairan Malaysia,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Romli berkata operasi CARILAMAT hari ini diteruskan dengan sektor pencarian diperluaskan kepada lebih 250 batu nautika persegi, melibatkan aset pelbagai agensi.
Beliau menjelaskan peluasan radius pencarian dibuat berdasarkan pergerakan arus laut yang berkemungkinan menolak mangsa ke lokasi lebih jauh dari tempat kejadian.
Fokus pencarian pihak Malaysia tertumpu di selatan perairan Pulau Tarutao, manakala pihak berkuasa Thailand memberi tumpuan di bahagian utara pulau berkenaan.
Mengulas lanjut mengenai kejadian, Romli berkata kira-kira 300 imigran warga Myanmar etnik Rohingya dan Bangladesh menaiki sebuah kapal besar sebelum dipindahkan ke dua bot lebih kecil.
Bagaimanapun, sebuah bot yang membawa kira-kira 70 imigran dipercayai karam di perairan Pulau Tarutao, kira-kira 2.5 batu nautika dari utara Langkawi. Kedudukan kapal utama dan sebuah lagi bot yang membawa kira-kira 230 imigran masih belum diketahui.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Khairul Azhar Nuruddin berkata pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung penglibatan sindiket yang dipercayai mengendalikan perjalanan imigran terbabit.
Menurutnya, hasil soal siasat terhadap sembilan mangsa mendapati mereka berurusan dengan ejen di Myanmar dan dipercayai terdapat ejen di Malaysia berdasarkan beberapa nombor telefon yang diperoleh daripada mangsa.
“Namun siasatan masih pada peringkat awal. Berdasarkan nombor telefon tersebut, kami akan meneruskan siasatan dan tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan sindiket,” katanya.
Beliau berkata polis juga menjalankan siasatan terperinci terhadap dua mangsa warga Bangladesh yang ditemui selamat semalam untuk menentukan sama ada mereka benar-benar mangsa atau bertindak sebagai tekong ataupun kru bot.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial