WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PARLIMEN PERKASA KEPIMPINAN WANITA DAN TADBIR URUS INKLUSIF - JOHARI 

12/11/2025 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov  (Bernama) -- Parlimen Malaysia akan terus memperkasa penyertaan wanita dan sebagai pembuat keputusan yang inklusif dengan mengiktiraf kepentingan diplomasi dalam menggalakkan dialog serta kerjasama, kata Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul. 

Beliau berkata tadbir urus menjadi lebih berkesan apabila setiap suara didengari, sambil menambah bahawa dalam beberapa tahun kebelakangan ini Parlimen telah memperkenalkan pelbagai pembaharuan, termasuk penubuhan 10 Jawatankuasa Pemilih Khas Parlimen dwipartisan

“Jawatankuasa ini meliputi pelbagai bidang seperti wanita, kesihatan, hak asasi manusia dan hubungan antarabangsa, kesemuanya memainkan peranan penting dalam memastikan Parlimen terus bertanggungjawb dan berpusat kepada keperluan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Jalinan Mesra bersama Ketua-Ketua Misi Wanita di Malaysia (WOHOMY) di Parlimen di sini hari ini. 

Hadir sama pada majlis itu Duta Romania merangkap Penyelaras WOHOMY Nineta Barbulescu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilih Parlimen bagi Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Masyarakat Yeo Bee Yin, Ahli- Ahli Parlimen wanita, duta-dua serta ketua-ketua organisasi.

Johari berkata tadbir urus inklusif bermula dengan dialog yang merangkumi semua suara, sambil menegaskan bahawa penglibatan yang lebih bermakna daripada semua lapisan masyarakat merupakan asas kepada sistem Parlimen yang kukuh dan bertanggungjawab.

“Penglibatan WOHOMY memperlihatkan kepimpinan wanita penting bagi mencapai kesaksamaan dan menjadi asas kepada kemajuan dan ketahanan negara. 

“Program hari ini menyediakan platform yang fokus membincangkan bagaimana untuk memperkasa wanita, melindungi kanak-kanak, dan mewujudkan dasar yang responsif gender,” katanya.

Johari turut memuji Yeo dan jawatankuasa beliau atas kepimpinan mereka dalam memperjuangkan isu berkenaan, sambil menegaskan bahawa usaha itu secara langsung menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Malaysia, khususnya yang menekankan kesaksamaan gender dan pengukuhan institusi. 

Sesi jaringan diplomatik itu juga bertindak sebagai platfrom untuk dialog dan bertukar pandangan mengenai dasar, strategi dan amalan terbaik bagi memperkukuh dasar responsif gender, memperkasa wanita, melindungi kanak-kanak dan memperkukuh institusi keluarga di peringkat nasional dan antarabangsa.

Program itu turut menampilkan aktiviti jaringan interaktif, antaranya  “Diplomatic Connections: Business Card Challenge,” yang bertujuan memupuk hubungan lebih erat dalam kalangan pemimpin wanita dalam suasana mesra dan tidak formal.

--BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan