WILAYAH - SARAWAK > BERITA

ENAM NEGARA ANGGOTA MUNGKIN MOHON PENGECUALIAN DARIPADA PAKATAN MIGRASI-EU

12/11/2025 07:44 PM

ISTANBUL, 12 Nov (Bernama-Anadolu) -- Enam negara – Bulgaria, Republik Czech, Estonia, Croatia, Austria dan Poland boleh memohon pengecualian sepenuhnya atau sebahagian daripada Pakatan Migrasi dan Suaka Kesatuan Eropah (EU) yang dijadualkan berkuat kuasa pada pertengahan 2026, menurut Suruhanjaya Eropah, lapor Anadolu Ajansi.

Bulgaria, Republik Czech, Estonia, Croatia, Austria dan Poland berdepan situasi migrasi yang ketara akibat tekanan kumulatif selama lima tahun kebelakangan ini. Mereka akan mempunyai pilihan untuk meminta Majlis EU memberikan pengecualian penuh atau sebahagian daripada sumbangan mereka kepada Kumpulan Solidariti bagi tahun akan datang,” menurut suruhanjaya itu dalam satu kenyataan pada Selasa.

Di bawah Kumpulan Solidariti, negara anggota dijangka menyumbang kepada pengurusan sempadan blok itu melalui penempatan semula migran, sokongan kewangan, langkah alternatif atau gabungan langkah itu.

Suruhanjaya itu turut menyatakan yang Greece, Pentadbiran Cyprus Greek, Sepanyol dan Itali kini berada di bawah tekanan migrasi yang tinggi akibat kadar ketibaan yang tidak seimbang dan mereka akan layak mengakses dana itu.

“Belgium, Bulgaria, Jerman, Estonia, Ireland, Perancis, Croatia, Latvia, Lithuania, Belanda, Poland dan Finland pula berisiko menghadapi tekanan migrasi sama ada kerana jumlah ketibaan yang tinggi pada tahun sebelumnya, tekanan berterusan terhadap sistem penerimaan mereka, atau ancaman penggunaan migrasi sebagai senjata yang boleh mewujudkan tanggungan tidak seimbang pada tahun akan datang,” menurut  kenyataan itu lagi.

Menurut suruhanjaya itu, semua negara berkenaan akan diberi keutamaan untuk mengakses Kotak Peralatan Sokongan Migrasi EU, yang menawarkan bantuan teknikal dan kewangan bagi mengurangkan beban migrasi.

Ia turut mengumumkan yang EU akan melancarkan tender bernilai €250 juta (US$289 juta) untuk menyokong pembelian teknologi dron dan anti-dron, bagi membantu negara anggota yang berdepan dengan ancaman hibrid serta peningkatan pencerobohan dron.

-- BERNAMA-Anadolu


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan