WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PRN SABAH: ASAS PEMILIHAN CALON FOKUS KEPADA CALON BOLEH MENANG - SAIFUDDIN NASUTION

12/11/2025 08:26 PM

PUTRAJAYA, 12 Nov (Bernama) -- Pemilihan 10 calon yang diumumkan PKR baru-baru ini untuk mewakili parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, dibuat berasaskan keupayaan calon berkenaan menang pada pilihan raya itu.

Pengarah Bersama Pilihan Raya PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kesemua calon berkenaan, telah melalui penelitian rapi oleh Jawatankuasa Pilihan Raya parti yang menilai pelbagai aspek sebelum membuat keputusan.

Mengakui ada tiga atau empat nama calon daripada 10 nama yang dinamakan mempunyai rekod keluar masuk parti lain sebelum ini, Saifuddin Nasution berkata beliau mengikuti rapat reaksi terhadap pengumuman calon yang dibuat.

“Bagi saya yang sudah bersama Parti Keadilan sejak April 1999, saya faham kerana PKR ini parti terbuka. Orang yang hari ini masuk parti tapi jadi calon, pun ada. Orang yang lama mengasaskan parti belum jadi calon, pun ada. Parti (PKR) inklusif bukan eksklusif,” katanya kepada media selepas Simposium Kecerdasan Buatan (AI) Transformasi Keselamatan 2025, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai 10 calon PKR bagi PRN Sabah ke-17 termasuk empat calon yang disifatkan sebagai calon “payung terjun” yang ada rekod menyertai pelbagai parti atau calon yang baru masuk parti.

Saifuddin Nasution menjelaskan bahawa pertimbangan utama dalam proses penamaan calon bukan sekadar latar belakang atau tempoh keahlian, tetapi kekuatan untuk menang di kawasan ditandingi.

“Sudah tentu Jawatankuasa Pilihan Raya mengambil kira semua perkara termasuk kebolehan (calon) untuk menang. Saya percaya mereka membuat semakan terhadap semua aspek, termasuk calon-calon yang sudah punya rekod penyertaan dalam pelbagai parti. Itu lumrah politik kita,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan