WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PEMUTIHAN WARGA ASING: SPRM TAHAN 11 TERMASUK PEGAWAI DAN PESARA AGENSI PENGUAT KUASA

12/11/2025 11:02 PM

PUTRAJAYA, 12 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan 11 individu termasuk 10 pegawai serta seorang pesara agensi penguat kuasa, kerana disyaki terbabit dalam kegiatan rasuah bagi mempercepatkan proses permohonan program pemutihan pendatang asing menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).

Menurut sumber kesemua suspek terdiri daripada tujuh lelaki dan empat wanita berusia antara 30 hingga 50-an itu, ditahan di beberapa lokasi sekitar Lembah Klang menerusi Ops Bleach yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM hari ini.

“Kesemua suspek dipercayai menerima rasuah sebagai balasan untuk mempercepatkan kelulusan permohonan pendatang asing, bagi mendapatkan status pekerja asing sah di bawah program RTK.

“Operasi ini merupakan tindakan susulan kepada siasatan SPRM terhadap sindiket Counter Setting menerusi Op Rentas dan Op Dygo yang dilaksanakan sebelum ini,” kata sumber itu.

Susulan tangkapan tersebut, SPRM turut menyita wang tunai berjumlah lebih RM116,000, 14 unit peranti telekomunikasi, barang kemas dan kepingan emas, tiga kereta serta dua motosikal.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi Bernama, mengesahkan penahanan tersebut dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 17 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata semua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi permohonan reman.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan