KOTA KINABALU, 12 Nov (Bernama) -- Ketua Exco Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku Sabah (STAR) Jordan Jude Ellron meletak jawatan serta merta, kerana kecewa apabila tiada anak muda yang diberikan peluang untuk menjadi calon mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Faceook, Jordon turut mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ketua Bahagian STAR Nabawan, seterusnya mengambil keputusan bertanding sebagai calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tulid pada PRN nanti.
“Tidak satu kerusi diberi peluang untuk Exco Wiramuda StarSabah bertanding. Maksudnya, tiada pun satu anak muda diberi peluang, semuanya hanya pejuang lama, pejuang baru tidak diberi muka. Secara prinsip, saya letak jawatan kerana anggap tiada fungsi sebagai Ketua Exco wiramuda.
“Saya meletak jawatan kerana sanggup berkorban supaya presiden membuka mata tidak buat langkah yang sama dengan generasi akan datang. Biarlah berlaku dengan saya, tapi jangan dengan generasi selepas saya,” katanya dalam kenyataan itu.
Jordan berkata Presiden STAR Datuk Seri Jeffrey G. Kitingan bulan lepas mengumumkan bahawa beliau akan menjadi calon di DUN Tulid dan ia disahkan oleh Mesyuarat Biro Politik yang dianggotai lapan pimpinan tertinggi parti.
Disebabkan itu, Jordon berkata beliau telah membayar deposit pencalonan dan membeli bahan kempen, namun dengan perkembangan terbaharu itu beliau mendermakannya kepada bakal-bakal calon dalam Star.
“Timbalan Exco Wiramuda StarSabah iaitu Razidin Robert, pun diumumkan dua kali untuk bertanding di DUN Bingkor, namun tidak ditunaikan juga. Jikalau presiden boleh umum secara ramai saya dan Razidin sebagai calon tapi kena “Prank” apa lagi yang bawahan?”, katanya.
Hari ini, Jeffrey mengumumkan bahawa STAR akan bertanding di 40 daripada 73 kerusi DUN Sabah dan menamakan Datuk Baritus Gungkit @ Evaristus sebagai calon untuk kerusi Tulid, manakala Mohd Ishak Ayun di Bingkor.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah ke-17 manakala tarikh penamaan calon pada 15 Nov dan tarikh pengundian awal 25 Nov.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial