WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERAJAAN DIBENAR RAYU KEPUTUSAN BERHUBUNG SEKSYEN 233 AKTA KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA

13/11/2025 04:18 PM

PUTRAJAYA, 13 Nov (Bernama) -- Kerajaan hari ini berjaya memperoleh kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa perkataan "menghina" serta "menjengkelkan" dalam Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan, yang diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais, membuat keputusan itu selepas membenarkan dua daripada empat persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh kerajaan dibangkitkan dalam rayuan tersebut, serta satu soalan tambahan daripada panel itu sendiri.

Turut bersidang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Datuk Nordin Hassan.

"Kami secara sebulat suara membenarkan Soalan 3 dan Soalan 4 dalam usul tersebut, kami juga akan mengemukakan satu lagi persoalan undang-undang iaitu apakah kesan Perkara 4(2) Perlembagaan Persekutuan dalam keadaan kes ini," kata Abu Bakar.

Dua soalan yang dibenarkan oleh mahkamah adalah berkaitan pendekatan interpretatif terhadap undang-undang serupa di United Kingdom dan Eropah bagi Seksyen 233 AKM serta Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

Satu lagi soalan ialah sama ada matlamat Seksyen 233, termasuk perkataan "menghina" dan "menjengkelkan" adalah untuk menghalang penyalahgunaan rangkaian komunikasi elektronik awam dan melindungi piawaian asas masyarakat, serta sama ada ia selaras dengan kepentingan awam dan moral di bawah Perkara 10(2) Perlembagaan Persekutuan.

Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan substantif pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian oleh mahkamah.

Panel itu turut membenarkan permohonan kerajaan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah Mahkamah Rayuan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.

"Kami membenarkan permohonan ini berdasarkan jaminan pemohon bahawa mereka tidak akan meneruskan sebarang pendakwaan kes yang berkaitan dengan usul tersebut," kata Abu Bakar.

Pada 19 Ogos lepas, Mahkamah Rayuan dalam keputusan sebulat suara telah memutuskan bahawa perkataan "menghina" dan "menjengkelkan" dalam Seksyen 233 adalah tidak berperlembagaan.

Bagaimanapun, panel itu memutuskan bahawa keputusan tersebut hanya mempunyai kesan prospektif dan tidak membabitkan kes-kes lampau.

Mahkamah terbabit membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan aktivis Heidy Quah Gaik Li, yang memfailkan saman bagi membatalkan sebahagian daripada peruntukan dalam Seksyen 233.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu akan mempunyai kesan prospektif iaitu membabitkan kes yang sedang berlangsung atau pada masa akan datang membabitkan jenayah “ucapan menghina dengan niat untuk menjengkelkan” di bawah Seksyen 233.

Sebelum pindaan, Seksyen 233(1)(a) menyatakan bahawa seseorang didapati melakukan kesalahan jika membuat, menghasilkan atau meminta, dan memulakan penghantaran sebarang komen dalam talian yang "lucah, tidak senonoh, palsu, mengancam atau menghina” dengan "niat untuk menjengkelkan, menyalah guna, mengugut atau mengganggu orang lain".

Di bawah pindaan AKM yang berkuat kuasa pada Februari lepas, perkataan “menghina” telah diganti dengan “sangat menghina".

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Liew Horng Bin yang mewakili kerajaan memaklumkan mahkamah bahawa pendakwaan terhadap kes berkaitan Seksyen 233 akan dihentikan sehingga rayuan selesai. 

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar, yang mewakili Quah, pula berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan jaminan kerajaan selagi anak guamnya tidak didakwa semula di mahkamah.  

Pada awalnya, panel itu terdiri daripada lima hakim termasuk Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd Salleh dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali

Bagaimanapun, Malik Imtiaz berkata Ahmad Terrirudin adalah Peguam Negara ketika prosiding kes tersebut di Mahkamah Rayuan dan oleh itu, terlibat secara langsung. 

Selepas mendengar hujah itu,mahkamah menangguhkan prosiding dan apabila ia disambung semula, Abu Bakar memaklumkan bahawa Ahmad Terrirudin telah bersetuju menarik diri. 

Susulan itu, Che Mohd Ruzima turut menarik diri sekali gus menjadikan panel itu dianggotai tiga hakim.

Saman yang difailkan Quah, pengasas Refuge for Refugees, mendakwa penggunaan perkataan “menghina” dan "menjengkelkan” dalam Seksyen 233 adalah tidak sah kerana bercanggah dengan dua hak asasi manusia yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.

Pada September 2023, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak saman Quah yang menyebabkan beliau mengemukakan rayuan.

Pada Julai 2021, Quah, 31, telah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana membuat komen dalam talian yang “menghina” di Facebook dan pada April 2022, beliau dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) kerana pertuduhan di bawah Seksyen 233(1)(a) adalah cacat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan