KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Malaysia akan menghantar 1,688 anggota kontinjen termasuk 1,166 atlet ke Sukan SEA 2025 di Thailand, menjadikan penyertaan terbesar negara dalam sejarah temasya itu, kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim.
Beliau berkata edisi ke-33 temasya dwitahunan itu, yang akan berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini di Bangkok, Chonburi dan Songkhla, mempertandingkan 50 sukan membabitkan 573 acara, dengan Malaysia menyertai 458 acara.
“Penyertaan kontinjen negara di Sukan SEA 2025 Thailand merupakan kontinjen terbesar berbanding penyertaan di Sukan SEA 2015 Singapura yang berjumlah 641 orang,” katanya menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) mengenai status persediaan kontinjen Malaysia termasuk jumlah atlet dan jurulatih serta sasaran pingat dan indikator kejayaan pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Adam Adli berkata pemilihan atlet dibuat melalui Jawatankuasa Pemilihan Atlet yang dipengerusikan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), berasaskan ranking tiga terbaik Asia Tenggara (kategori A) dan enam terbaik Asia Tenggara (kategori B).
Beliau berkata persediaan kontinjen dimulakan awal tahun ini melalui Majlis Sukan Negara (MSN) dengan tumpuan kepada atlet Program Podium, Podium Berfasa dan Pelapis, manakala sasaran keseluruhan pingat masih dalam penelitian dan akan dimuktamadkan pada Bengkel Sasaran Pingat pada 29 Nov.
Bagi Sukan Para ASEAN 2025 yang dijadual berlangsung dari 20 hingga 26 Jan 2026, Malaysia akan menghantar 358 anggota terdiri daripada 238 atlet dan 120 pegawai, menjadikan penyertaan kali ini juga yang terbesar setakat ini.
Menjawab soalan tambahan Shamshulkahar mengenai penglibatan atlet Program “Road to Gold” (RTG) dalam Sukan SEA 2025, Adam Adli berkata 12 atlet RTG akan menyertai temasya di Thailand dalam acara badminton, angkat berat dan memanah sebagai persediaan serta pendedahan antarabangsa.
Beliau berkata Program RTG, yang dilancarkan pada Mac 2023 bagi menyelaras usaha negara mencapai pingat emas pertama Olimpik, turut merangkumi penyertaan di temasya seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan Sukan Komanwel.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) mengenai dakwaan atlet mendaki negara Mohd Izzat Mohd Shokor terpaksa membiayai sendiri kos latihan dan penyertaan ke Sukan SEA, Adam Adli berkata atlet berkenaan berada di bawah kategori C, iaitu kategori yang tidak menerima peruntukan awal kerajaan.
Beliau berkata hanya atlet kategori A dan B dibayai Majlis Sukan Negara (MSN) manakala kategori C dibenarkan bertanding dengan pengiktirafan rasmi tetapi kos ditanggung sendiri.
Beliau turut menjelaskan bahawa sebahagian atlet dalam kategori itu sedar kos latihan dan penyertaan ditanggung sendiri pada peringkat awal, namun imbuhan yang diterima adalah sama seperti kategori lain sekiranya membawa pulang pingat.
Beliau berkata atlet dan persatuan sukan yang tidak termasuk dalam peruntukan kontinjen Sukan SEA juga boleh memohon bantuan kewangan tambahan daripada Kementerian Belia dan Sukan, dengan imbuhan tetap diberikan sekiranya mereka berjaya membawa pulang pingat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial