WILAYAH - SARAWAK > BERITA

AGENSI NUKLEAR MALAYSIA PILIH SMK SUNGAI KRUIT SEBAGAI SEKOLAH ANGKAT MADANI

14/11/2025 10:43 AM

IPOH, 13 Nov (Bernama) -- Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kruit, Sungkai dekat Tanjung Malim dipilih sebagai Sekolah Angkat MADANI di bawah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia).

Majlis penyerahan sekolah itu dirasmikan Ketua Pengarah Nuklear Malaysia Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin di sekolah berkenaan hari ini.

Muhammad Rawi dalam ucapan perasmian berkata pemilihan SMK Sungai Kruit sebagai Sekolah Angkat MADANI Nuklear Malaysia adalah berdasarkan komitmen tinggi pihak sekolah terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta penglibatan aktif pelajar dan guru dalam pelbagai aktiviti sains dan inovasi. 

"Terletak di kawasan luar bandar, sekolah ini mencerminkan usaha berterusan Nuklear Malaysia memperluas akses pendidikan STEM dan diharap menjadi pusat rujukan komuniti bagi pembelajaran sains serta inovasi sosial untuk melahirkan masyarakat celik sains dan berdaya cipta," katanya.

Muhammad Rawi berkata sebanyak RM100,000 telah diperuntukkan bagi menaik taraf lantai serta memasang sistem pembesar suara di dewan sekolah. 

Beliau berkata inisiatif itu bukan sekadar penambahbaikan fizikal malah bertujuan memperkukuh ekosistem pembelajaran yang kondusif untuk pelajar dan warga sekolah.

Menurut beliau ia juga mencerminkan komitmen Nuklear Malaysia dalam menyokong Dasar Pendidikan Negara serta Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 yang menekankan penerapan ilmu sains dan teknologi nuklear secara bertanggungjawab, beretika dan berimpak tinggi kepada masyarakat.

"Pelaksanaan program ini juga selaras dengan aspirasi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk ‘Merakyatkan Sains, Menginsankan Teknologi dan Mengarusperdanakan Inovasi di samping mendukung agenda Kerajaan MADANI dalam memperkukuh pembangunan insan melalui pendidikan yang inklusif dan berasaskan sains," katanya.

Dalam pada itu, agensi itu dalam kenyataan memaklumkan Nuklear Malaysia turut melancarkan Karnival STEM di sekolah berkenaan hari ini yang menghimpunkan lebih 500 pelajar dari daerah Muallim, Batang Padang dan Kinta Selatan. 

Karnival itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai bidang STEM selaras dengan usaha melahirkan generasi celik sains, berfikiran kritikal dan berinovasi tinggi yang mampu menyokong pembangunan negara berasaskan sains dan teknologi. 

Antara pengisian menarik adalah pameran robotik dan pertandingan STEM Explorace yang disertai oleh pelajar dari sekolah-sekolah yang terlibat. 

Sejak 1972, Nuklear Malaysia telah melaksanakan pelbagai program jangkau luar atau outreach bagi memperkukuh kesedaran awam tentang sains dan teknologi nuklear melalui tiga inisiatif utama, iaitu Program NEO@Schools, Nuclear Nexus@Community dan Explore@Nuclear

Melalui pelaksanaan Program Sekolah Angkat MADANI dan Karnival STEM ini, Nuklear Malaysia berhasrat memperkukuh pengetahuan STEM dan nuklear di peringkat akar umbi, seiring dengan usaha kerajaan memperkasakan pembangunan pendidikan dan kesejahteraan masyarakat di bawah gagasan Malaysia MADANI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan