Daripada Farah Najihah Zuraimi
TOKYO, 14 Nov (Bernama) -- “Daripada kesunyian kami mencipta kejayaan.” Slogan itu bukan sekadar ungkapan, sebaliknya menjadi sumber kekuatan buat 25 atlet pekak negara yang bersedia mencipta sejarah baharu apabila temasya Deaflympics Tokyo 2025 membuka tirainya di sini, esok.
Bagi memastikan kesiapsiagaan optimum, kontinjen negara tiba lebih awal pada 4 Nov lepas bersama barisan jurulatih masing-masing untuk menjalani latihan berpusat di Bandar Miyoshi, Jepun sebagai persediaan menyesuaikan diri dengan cuaca serta persekitaran setempat.
Kini, persoalan yang menjadi tumpuan ialah sejauh mana perancangan dan persediaan rapi itu mampu menterjemahkan sasaran tiga pingat emas yang ditetapkan Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf).
Dua emas disasarkan menerusi acara badminton, masing-masing beregu wanita dan beregu campuran manakala satu lagi harapan pada sukan tenpin boling.
Pada edisi Deaflympics Brazil 2022, Malaysia membawa pulang dua emas melalui badminton beregu wanita serta acara boling berpasukan wanita.
Gandingan wanita negara Boon Wei Ying-Foo Zu Tung dilihat mempunyai peluang cerah selepas menjuarai Sukan SEA Pekak Jakarta 2025, selain pengalaman Wei Ying menjadi senjata penting dalam membimbing pasangan beregu campuran Edmund Teo untuk mencipta detik keemasan di Tokyo.
Bagi acara tenpin boling pula, Ketua Jurulatih negara Tay Teck Kheng berkata format baharu acara berpasukan akan menjadi ujian sebenar skuad negara dan mengakui skuad lelaki berpotensi besar membawa khabar gembira buat kontinjen negara.
Malaysia juga akan mengambil bahagian dalam acara olahraga dan karate yang dijangka mampu mencipta kejutan.
Kem olahraga negara menamatkan cabaran Sukan SEA Pekak di Jakarta dengan bergaya apabila menyapu bersih 10 pingat emas, namun gelanggang di Tokyo menyajikan saingan berbeza apabila menampilkan atlet pekak seluruh dunia bersaing merebut podium, khususnya dalam acara reben biru yang menjadi penanda aras kehebatan pelari pecut.
Ini merupakan peluang terbaik buat atlet sensasi negara Mohamad Zamir Azman yang digelar Raja Pecut Pekak Asia Tenggara, untuk menguji kemampuan sebenar di pentas lebih besar selepas mengungguli acara 100 meter (m) dengan catatan 11.06 saat (s) di Jakarta.
Selain Mohamad Zamir, turut mencuri tumpuan Nur Andrina Zainuddin yang akan beraksi dalam acara 100m wanita selepas mencatat masa membanggakan 13.06s di Jakarta dan berpotensi menghadiahkan emas buat negara.
Acara karate pula menyaksikan sandaran utama V Yilamaran yang merupakan pemenang pingat perak acara Kumite pada edisi Deaflympics Brazil 2022, bersedia menambah koleksi pingat Malaysia di Tokyo.
Bagi memastikan atlet negara lebih bersedia, Kerajaan MADANI meluluskan peruntukan tambahan RM3 juta kepada MSDeaf bagi membantu persiapan kontinjen Malaysia ke Tokyo.
Pada masa sama, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengumumkan insentif khas RM80,000 kepada atlet yang berjaya meraih pingat emas, diikuti RM40,000 (perak) dan RM20,000 (gangsa).
Jika seluruh rakyat Malaysia telah bersorak untuk atlet di Sukan Olimpik dan Paralimpik, tibalah masanya untuk kita memberikan sokongan padu kepada atlet pekak negara, yang berjuang memastikan Jalur Gemilang berkibar megah di temasya Deaflympics Tokyo 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial