WILAYAH - SARAWAK > BERITA

BELANJAWAN 2026 BAGI SEMBILAN LAGI KEMENTERIAN LULUS PERINGKAT JAWATANKUASA

14/11/2025 10:52 AM

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Peruntukan bagi sembilan lagi kementerian diluluskan di peringkat jawatankuasa pada minggu keenam persidangan Dewan Rakyat, setelah Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi setiap kementerian itu selesai dibahas dan digulung serta melalui pengundian majoriti.

Kementerian terlibat ialah Kementerian Perpaduan Negara, Kementerian Ekonomi, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Sebanyak 11 kementerian dan Jabatan Perdana Menteri telah selesai membuat penggulungan Belanjawan 2026 di peringkat jawatankuasa setakat ini, manakala peruntukan belanjawan bagi 16 kementerian lagi dijadual dibahaskan minggu depan.

Sesi perbahasan Belanjawan 2026 peringkat jawatankuasa serta jawapan daripada setiap kementerian dijadualkan berlangsung selama 14 hari bermula 5 hingga 27 Nov. 

Turut menarik perhatian persidangan Dewan Rakyat minggu ini ialah kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebanyak dua kali pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).

MQT yang diadakan setiap Selasa memperuntukkan ruang kepada Ahli Parlimen untuk mengemukakan soalan secara langsung kepada Perdana Menteri mengenai pelbagai isu semasa manakala sesi sama pada Khamis pula dijawab oleh menteri Kabinet.

Antara isu dibangkitkan Ahli Parlimen untuk mendapat penjelasan daripada Perdana Menteri ialah berkenaan pemberian khas 40 peratus hasil Sabah.

Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak membuat rayuan terhadap keputusan berhubung pemberian khas berdasarkan 40 peratus hasil kepada Sabah seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan akan memulakan proses rundingan dengan Kerajaan Negeri Sabah dalam kadar segera.

Perkara itu diputuskan dalam mesyuarat khas Jemaah Menteri pada Selasa, membincangkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung Pemberian Khas Negeri Sabah yang diputuskan dalam permohonan semakan kehakiman oleh Persatuan Undang-Undang Sabah terhadap Kerajaan Malaysia.

Perdana Menteri turut memaklumkan rundingan berhubung isu 40 peratus boleh diteruskan walaupun dalam tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17 berlangsung, melibatkan soal teknikal.

Pada sesi MQT, Anwar turut menjelaskan mengenai tekanan daripada pihak tertentu yang mengkritik peranan Malaysia dalam rundingan damai antara Thailand dan Kemboja, dengan beliau menegaskan Malaysia hanya bertindak sebagai penyelaras dalam rundingan damai itu tanpa menetapkan sebarang syarat dan keputusan ditentukan sepenuhnya kedua-dua negara.

Malaysia, tegas Anwar, kekal komited terhadap usaha memastikan keamanan serantau kerana ketegangan di rantau ini turut memberi kesan kepada negara, lebih-lebih lagi Malaysia memegang peranan sebagai Pengerusi ASEAN hingga Disember ini. 

Selain itu, isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) turut disentuh pada sesi MQT apabila Anwar memaklumkan usaha Kerajaan Malaysia memulihkan aset 1MDB menunjukkan perkembangan positif apabila lebih RM1 bilion dana dipulangkan ke dalam negara baru-baru ini.

Beliau berkata proses pemulangan aset serta dana 1MDB masih diteruskan oleh jawatankuasa khas yang dipertanggungjawabkan termasuk kes di Switzerland dan London, United Kingdom.

Dewan Rakyat sepanjang minggu ini juga menyaksikan dua RUU di bawah Kementerian Sumber Manusia iaitu RUU Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Pindaan) 2025 dan RUU Tabung Pembangunan Kemahiran (Pindaan) 2025 dibentangkan untuk bacaan kali pertama.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan