KUCHING, 14 Nov (Bernama) -- OCBC Malaysia berkata Program Usahawan Bersiri telah mendapat momentum yang kukuh dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) selepas memperoleh lebih RM1.6 bilion pembiayaan diluluskan sejak fasa pertamanya bermula lebih setahun lepas.
Bank itu dalam satu kenyataan berkata program berkenaan menyokong usahawan yang memiliki pelbagai perniagaan dengan menilai keseluruhan portfolio mereka dan bukannya menilai setiap entiti secara berasingan.
Pengarah Urusan dan Ketua Perbankan Borong OCBC Malaysia Jeffrey Teoh berkata pada acara Program Usahawan Bersiri OCBC baru-baru, lebih daripada 100 pelanggan telah menyertai program itu sejak pelancaran rasminya di Kuala Lumpur pada Julai lepas, tahun ini.
“Kami kini teruja untuk membawa program ini ke Sarawak, sektor tenaga boleh baharu negeri ini berkembang maju, infrastruktur digital pula berkembang pesat dan ia mempunyai dasar progresif.
“Dengan perkembangan ini, ramai generasi usahawan baharu muncul dan kami mahu menyokong dan memajukan perniagaan mereka,” katanya.
Teoh berkata usahawan bersiri juga disokong oleh pengurus perhubungan OCBC berdedikasi yang menyediakan pelan hala tuju kewangan tersuai untuk membantu mereka mengurus dan mengembangkan perniagaan mereka dengan lebih berkesan.
Beliau berkata program tersebut merangkumi perkhidmatan pembayaran dan kutipan, penyelesaian khusus dalam industri dan alat lain untuk membantu usahawan mengembangkan usaha niaga mereka tanpa kekangan model perbankan tradisional.
“Kami sentiasa percaya bahawa PKS adalah tulang belakang ekonomi Malaysia dan kepercayaan ini memacu inovasi, pelaburan dan perkongsian kami,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial