WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS TAHAN TIGA INDIVIDU TERLIBAT PECAH RUMAH DI LEMBAH KLANG, SEREMBAN

14/11/2025 03:41 PM

SEREMBAN, 14 Nov (Bernama) -- Polis menahan tiga individu dipercayai terlibat dalam beberapa kejadian pecah rumah di sekitar Lembah Klang dan daerah ini sejak Ogos lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata pihaknya menerima laporan kejadian pecah rumah di Taman Sri Carcosa, Seremban 2 pada 13 Ogos membabitkan kehilangan barang kemas dan beberapa jam tangan berjenama dianggarkan bernilai RM35,000.

Beliau berkata siasatan membawa kepada penahanan suspek lelaki warga China berusia 37 tahun pada 8 Nov di kawasan City Park, Seremban 2 oleh pegawai dan anggota Balai Polis Seremban 2.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki suspek menemukan pelbagai peralatan dipercayai digunakan dalam jenayah itu termasuk pemotong besi, pemutar skru, kuku kambing, pakaian, beg komputer riba serta dua telefon bimbit,” katanya. 

Alzafny berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Seremban dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) di sini hari ini.

Beliau berkata penahanan itu membawa kepada tangkapan lelaki tempatan dan wanita warga China masing-masing berusia 60 dan 64 tahun di sebuah kediaman di Lebuh Pudu, Kuala Lumpur pada 10 Nov oleh pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban.

Pemeriksaan di kediaman itu menemukan 27 jam tangan pelbagai jenama, barang kemas (sembilan), kad bank (tiga), beg berjenama (lima), komputer riba (satu), wang tunai RM18,000 serta wang pelbagai negara.

“Dengan penahanan suspek, IPD Seremban menyelesaikan masing-masing tujuh kes pecah rumah di daerah ini dan Selangor,” katanya. 

Suspek direman sehingga 15 Nov bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Pada majlis itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Melaka ACP Azhar Abdul Rahim dilantik Ketua Polis Daerah Seremban baharu bagi menggantikan SAC Mohamad Hatta Che Din yang dinaikkan pangkat Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan