WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MESYUARAT SPS ASEAN-CHINA PERKUKUH KERJASAMA PERDAGANGAN, KESELAMATAN MAKANAN - KPKM

14/11/2025 04:31 PM

PUTRAJAYA, 14 Nov (Bernama) -- Mesyuarat Ke-9 Kerjasama Sanitari dan Fitosanitari (SPS) ASEAN-China bersetuju meneruskan kerjasama ASEAN-China dalam aspek makanan, pertanian dan perhutanan, terutamanya bagi meningkatkan perdagangan, penggunaan teknologi, penggunaan platform sijil elektronik yang dibangunkan pihak China dan Tetingkap Tunggal  ASEAN (ASW).

Kerjasama itu turut merangkumi usaha menyelaras mekanisme dan standard berkaitan sanitari dan fitosanitari, selain memperluas program latihan dan pembangunan modal insan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan mesyuarat juga bersetuju untuk terus bekerjasama dan menjayakan Kerjasama ASEAN-China bagi Pelan Tindakan Sanitari dan Fitosanitari 2026-2027, yang merupakan dokumen rujukan utama dalam usaha kerjasama ASEAN dan China.

“Antara fokus utama kerjasama ini adalah untuk memudah cara perdagangan tanpa kompromi kepada keterjaminan dan keselamatan makanan, memelihara kesihatan dan mengharmonikan standard, serta perkongsian amalan terbaik dalam usaha untuk menghalang penyebaran penyakit ternakan dan tanaman,” menurut KPKM.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menghadiri mesyuarat itu yang diadakan di Chongqing, China, semalam.

Mesyuarat yang diadakan setiap dua tahun itu dianjurkan secara bergilir-gilir antara China dan negara anggota ASEAN.

Ia juga mengambil maklum komitmen ASEAN-China semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur baru-baru ini dan Mesyuarat Ke-47 Menteri-Menteri Pertanian dan Perhutanan ASEAN Campur Tiga di Filipina pada Oktober lepas, untuk menyokong visi bersama membangunkan sektor pertanian yang berdaya tahan, berdaya saing dan inklusif bagi menjamin keselamatan makanan serta kemakmuran rantau ASEAN.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan