WILAYAH - SARAWAK > BERITA

CALON TUNGGAL OKU PENGLIHATAN BERSEMANGAT TINGGI HADAPI SPM

14/11/2025 05:02 PM

ALOR SETAR, 14 Nov (Bernama) -- Muhammad Akmal Mohamad Zaili, calon tunggal bagi kategori Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Kedah, bersemangat tinggi untuk menduduki peperiksaan itu meskipun berdepan kekurangan diri.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik berusia 19 tahun itu gigih mengulang kaji pelajaran menggunakan bahan bacaan Braille dan rakaman audio, serta memberikan tumpuan kepada subjek utama.

“Persediaan untuk SPM, saya fokus empat subjek, iaitu Pendidikan Islam, Sejarah, Sains dan Matematik. Saya belajar di kelas perdana, jadi cara saya adalah dengan merekodkan suara cikgu yang mengajar dan mendengarnya semula selepas pulang ke asrama.

“Perkara ini cabaran bagi saya berbanding pelajar lain. Saya memerlukan masa lebih panjang untuk mengulang kaji kerana kekangan yang dihadapi, tetapi saya yakin boleh melakukannya,” katanya ketika ditemui di SMK Tunku Abdul Malik, di sini hari ini.

Muhammad Akmal yang bakal menduduki peperiksaan enam subjek teras pada peperiksaan itu, turut bersyukur kerana mendapat bantuan dan sokongan daripada rakan serta guru yang sentiasa memberikan semangat kepadanya.

Mengimbas mengenai masalah penglihatannya, Muhammad Akmal berkata pada awalnya dia hanya rabun sebelum disahkan mengalami kerosakan saraf pada usia 11 tahun.

“Pada mulanya memang sukar dan saya sedih sebab tak boleh melihat macam orang lain, tetapi lama-kelamaan saya belajar menerima keadaan dan sesuaikan diri,” katanya yang berasal dari Tanjung Dawai.

Sementara itu, Pengetua SMK Tunku Abdul Malik, Faridah Derani, berkata persiapan rapi telah dibuat untuk memastikan Muhammad Akmal dapat menduduki peperiksaan dengan lancar, termasuk penyediaan jurubaca.

“Sekolah turut berhubung dengan Bahagian Peperiksaan Jabatan Pendidikan Negeri Kedah untuk kelulusan penambahan masa antara sejam hingga satu jam setengah kepada calon OKU mengikut subjek,” katanya.

Beliau yakin semangat kental dan disiplin tinggi ditunjukkan Muhammad Akmal sepanjang tempoh persekolahan akan membantu pelajar itu menghadapi peperiksaan SPM nanti.

Peperiksaan bertulis SPM akan bermula dari 25 Nov hingga 23 Dis ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan