WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SPR TIADA KUASA TENTUKAN PELANGGARAN AKTA ANTI LOMPAT PARTI OLEH UPKO

14/11/2025 05:44 PM

KOTA KINABALU, 14 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada tindakan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) keluar daripada Pakatan Harapan (PH) melanggar peruntukan Akta Anti Lompat Parti.

Pengerusi SPR Ramlan Harun berkata keputusan itu terletak di bawah bidang kuasa speaker Dewan Rakyat.

“Yang ini, SPR bukan badan yang dapat menentukan sama ada perkara tersebut berlaku atau tidak, sama ada kekosongan berlaku ataupun tidak.

“Jadi, kita tunggu keputusan daripada speaker. Kalau yang terlibat adalah Wakil Rakyat di Parlimen dan kami akan menunggu maklumat seterusnya. Buat masa ini, kita tidak dapat menentukan kedudukan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau persiapan di Dewan Sri Tanjung, Putatan yang akan menjadi pusat penamaan calon bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Keramat, Tanjung Aru serta Petagas.

Pada 10 Nov, Setiausaha Agung UPKO Datuk Nelson W Angang mengumumkan parti itu keluar daripada PH berkuat kuasa serta-merta. 

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15, UPKO yang bertanding menggunakan logo PH menang kerusi Parlimen Penampang dan Tuaran. 

Pada 31 Ogos 2022, Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663) melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan diwartakan pada 6 Sept 2022.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan