WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PERTUMBUHAN KDNK SUKU KETIGA ISYARAT MOMENTUM DOMESTIK SEMAKIN KUKUH - AHLI EKONOMI

14/11/2025 09:02 PM

Oleh Anas Abu Hassan

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Pertumbuhan ekonomi suku ketiga Malaysia membuktikan momentum domestik semakin mengukuh walaupun keadaan luaran kekal tidak menentu, kata seorang ahli ekonomi.

Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.2 peratus pada suku ketiga mengukuhkan lagi naratif bahawa perbelanjaan dalam negeri kekal berdaya tahan.

Beliau berkata lonjakan ketara dalam eksport bersih dan akaun semasa yang kembali mencatat lebihan sebanyak RM12.2 bilion turut menyerlahkan kedudukan luaran negara yang semakin baik, disokong oleh permintaan eksport yang pelbagai serta rantaian bekalan serantau yang semakin stabil.

Selain itu, Mohd Sedek berkata subsidi seperti BUDI MADANI RON95 (BUDI95) secara langsung menurunkan inflasi keseluruhan dengan menurunkan kos berkaitan bahan api, namun secara relatif inflasi teras kekal stabil. 

“Kesemua petunjuk ini menandakan ekonomi sedang mengukuh dari dalam,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berpandangan bahawa permintaan luar terus menyokong pertumbuhan KDNK keseluruhan walaupun berdepan ketidaktentuan perdagangan susulan langkah perlindungan yang diambil Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, beliau berkata pertumbuhan domestik sederhana kepada 5.8 peratus pada suku ketiga 2025 berbanding 7.0 peratus sebelum ini, sejajar dengan pertumbuhan sederhana dalam penggunaan dan pelaburan swasta.

“Penggunaan swasta, yang merangkumi lebih 60 peratus daripada KDNK, berkembang pada kadar lebih perlahan iaitu 5.0 peratus berbanding 5.3 peratus sebelumnya. Ini menunjukkan pengguna masih berhati-hati dalam berbelanja walaupun pasaran buruh berada pada tahap guna tenaga penuh,” katanya.

Mengenai prospek, Mohd Afzanizam berkata pencapaian pertumbuhan suku ketiga ini adalah memuaskan, manakala suku terakhir dijangka berkembang sekitar 5.0 peratus.

“Secara keseluruhan, ekonomi Malaysia dijangka kekal dalam lingkungan unjuran rasmi 4.0 peratus hingga 4.8 peratus pada 2025 dan 4.0 peratus hingga 4.5 peratus pada 2026, disokong langkah proaktif Bank Negara Malaysia menurunkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) pada Mei dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada Julai.

“Selain itu, dengan pelaksanaan dasar fiskal yang bersifat mengembang, termasuk bantuan kerajaan seperti pindahan tunai dan subsidi yang kini lebih bersasar, ia dijangka memberikan sokongan yang diperlukan bagi meredakan ketidaktentuan luaran,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan