WILAYAH - SARAWAK > BERITA

RAPID BUS BERI KERJASAMA PENUH SIASATAN KEMALANGAN MAUT

14/11/2025 09:23 PM

GEORGE TOWN, 14 Nov (Bernama) -- Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan memberikan kerjasama penuh kepada polis berhubung siasatan kemalangan maut yang melibatkan sebuah bas Rapid Penang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini semalam.

Rapid Bus dalam kenyataan hari ini memaklumkan insiden pada 11 pagi itu menyaksikan seorang penunggang motosikal meninggal dunia setelah melanggar bahagian sisi kanan bas Rapid Penang laluan 303.

"Kami mengambil maklum beberapa laporan berkaitan punca insiden itu dan pada masa ini, kes berkenaan masih dalam siasatan pihak berkuasa.

"Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) insiden itu juga telah diserahkan kepada pihak berkuasa dan ketika ini, sebarang penilaian punca insiden adalah pramatang sehingga siasatan rasmi selesai," katanya dalam kenyataan malam ini.

Rapid Bus memaklumkan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan fakta yang telah disahkan serta berharap semua pihak memberi ruang kepada polis untuk menjalankan siasatan dengan telus dan adil.

Terdahulu, wakil Rapid Bus melawat keluarga penunggang motosikal terbabit dan merakamkan ucapan takziah serta simpati yang mendalam kepada keluarga mangsa.

Semalam media melaporkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas motosikal ditunggangnya terlanggar sebuah bas ketika mangsa dalam perjalanan dari Gat Lebuh Macallum menuju ke rumahnya di Summer Place, Persiaran Karpal Singh.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan