WILAYAH - SABAH > BERITA

TERANG DI MALAM HARI, CERIA DI HATI PENDUDUK PANGKALAN ABAI

02/12/2025 07:07 PM

Oleh Suraidah Roslan

KOTA BELUD, 2 Dis (Bernama) -- Malam di Kampung Pangkalan Abai, di sini yang dahulunya gelap dan sunyi kini berubah wajah. Sejak pemasangan lampu solar, suasana kampung nelayan itu bertukar cerah, selamat dan meriah dengan aktiviti komuniti yang kembali hidup selepas senja.

Transformasi yang dilaksanakan menerusi Program Kampung Angkat MADANI (KAM) bukan sahaja menerangi jalan dan lorong kampung, tetapi turut menyalakan semangat baharu dalam kalangan penduduk, terutamanya golongan muda yang pulang lewat dari tempat kerja serta warga emas yang kerap ke masjid.

Ketua Kampung Pangkalan Abai Saipudin Amin berkata kemudahan yang disediakan menerusi program KAM memberikan keselesaan kepada kira-kira 800 penduduk untuk menjalankan pelbagai aktiviti komuniti termasuk menjalankan rondaan malam oleh anggota Sistem Rondaan Sukarela (SRS).

Beliau berkata pelaksanaan projek di kampung itu merangkumi pemasangan lampu solar, pembinaan pondok SRS dan bilik mandi jenazah, menaik taraf sistem perparitan di kawasan masjid dan sekolah, membaik pulih rumah usang serta penyediaan sebuah van jenazah.

“Dengan adanya lampu solar, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan sukarelawan SRS kini dapat menjalankan rondaan malam dengan lebih berkesan, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan dan kes kecurian,” katanya kepada Bernama.

Saipudin berkata penyediaan van jenazah memberi manfaat besar bukan sahaja kepada penduduk di kampung itu, tetapi juga kepada masyarakat di kampung-kampung sekitar yang memerlukan perkhidmatan berkenaan.

“Memang nampak perbezaan yang ketara apabila menjadi Kampung Angkat MADANI terutama dari segi pelaksanaan projek yang lebih pantas berbanding projek lain yang mengambil masa lama untuk kelulusan permohonan,” katanya.

Beliau berkata penduduk amat menghargai inisiatif di bawah program KAM, yang bukan sekadar meningkatkan keselamatan, tetapi turut menyumbang kepada kesejahteraan dan kualiti hidup masyarakat setempat.

Ibu tunggal, Siti Azirah Jilan, 36, berkata sebelum ini mereka sering berasa bimbang untuk keluar bagi menyelesaikan urusan pada waktu malam susulan keadaan kampung yang gelap, namun dengan adanya lampu solar, penduduk kini lebih yakin dan selesa untuk bergerak pada waktu malam.

Anggota RELA itu berkata pemasangan lampu solar di laluan utama kampung berkenaan juga memberi keyakinan kepadanya untuk menjalankan tugas rondaan pada waktu malam bersama anggota RELA yang lain.

“Menerusi program ini, rumah saya turut dibaik pulih. Ini rumah pusaka, bumbung pun sudah usang dan setiap kali hujan, bilik tidur anak-anak pasti basah. Jadi bantuan ini sangat bermakna bagi kami yang tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk membaiki sendiri rumah,” katanya.

Bagi pesara kerajaan, Jahim Bunul @Mohd Nordin, 65, urusan pengebumian kini menjadi lebih mudah dengan adanya van jenazah baharu dan bilik mandi jenazah di pekarangan Masjid Darul Naim, yang memberi manfaat kepada komuniti sekitar.

Sementara itu, anggota SRS, Sekin Onong, 41, berkata menerusi inisiatif KAM juga, pondok SRS yang sebelum ini usang telah dinaik taraf menjadi kemudahan lebih selesa dan lengkap dengan pendingin hawa, sekali gus memudahkan tugas pasukan SRS pada waktu malam.

Beliau berkata 25 anggota SRS bertugas secara bergilir-gilir untuk membantu anggota RELA melakukan rondaan pada waktu malam.

“Dengan adanya pondok SRS di pintu masuk kampung dan rondaan yang lebih kerap, tahap keselamatan di kampung ini semakin baik. Sejak Julai, tiada kes pecah rumah dan kecurian yang dilaporkan,” katanya.

Projek pembangunan di bawah KAM di Kampung Pangkalan Abai, Kota Belud yang dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri, melibatkan peruntukan berjumlah RM1 juta.

KAM ialah usaha Kerajaan MADANI untuk merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar dengan menyediakan kemudahan asas, peluang ekonomi dan sosial serta ruang komuniti yang lebih baik.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan