KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Kerajaan komited untuk terus menurunkan hutang baharu 2025 dengan unjuran kira-kira RM75 bilion, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kadar defisit telah menunjukkan trend penurunan yang konsisten dari tahun ke tahun dan penurunan defisit ini bermakna pinjaman baharu kerajaan turut berkurangan,” kata beliau pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar menjelaskan pinjaman baharu kerajaan berkurangan kepada kira-kira RM100 bilion (2021), RM99 bilion (2022), RM92 bilion (2023) dan RM77 bilion (2024).
“Pengurangan defisit fiskal dan hutang baharu tahunan membolehkan kadar pertumbuhan hutang dikurangkan, iaitu 10.2 peratus (2022), 8.6 peratus (2023), 6.4 peratus (2024) dan sekitar 6.0 peratus (2025).
“Trend ini menjadi bukti nyata bahawa kerajaan memastikan hutang negara diurus secara bertanggungjawab dan digunakan bagi pembiayaan pelaburan yang produktif,” kata beliau.
Mengulas mengenai defisit yang ditanggung kerajaan, Anwar berkata kerajaan tidak pernah gagal memenuhi obligasi pembayaran faedah dan prinsipal hutang mengikut jadual serta sentiasa memastikan paras hutang kekal di bawah had statutori yang ditetapkan.
“Ini membuktikan kapasiti kewangan kerajaan untuk menguruskan hutang secara berhemat,” kata beliau.
Setakat akhir September 2025, jumlah hutang Persekutuan adalah RM1.32 trilion atau 65.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).
Mengenai pinjaman luar pesisir, Anwar berkata pada masa ini, pinjaman luar pesisir berjumlah RM22.4 bilion, turut berada di bawah paras RM35 bilion sebagaimana ketetapan Akta Pinjaman Luar Negeri 1963.
“Bil Perbendaharaan Malaysia (MTB) pula berjumlah RM4 bilion, tidak melebihi paras RM10 bilion seperti di bawah Akta Bil Perbendaharaan (Tempatan) 1946,” kata beliau.
Anwar menegaskan bahawa kerajaan menyasarkan paras nisbah hutang kepada KDNK dapat distabilkan dan diunjurkan berkurangan dalam jangka sederhana mulai 2027 atau 2028 berikutan suasana ekonomi global yang kekal mencabar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial