WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FIFPRO KECAM PENGGANTUNGAN 12 BULAN TERHADAP TUJUH PEMAIN WARISAN FAM

02/12/2025 12:49 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Persekutuan Antarabangsa Pemain Bolasepak Profesional (FIFPRO) menyifatkan penggantungan 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak yang dikenakan terhadap tujuh pemain terbabit dalam kes pemalsuan dokumen rasmi oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) adalah ‘sangat tidak seimbang’ dengan keadaan sebenar.

FIFPRO dalam kenyataan hari ini memaklumkan sangat jelas bahawa pemain-pemain berkenaan sebenarnya adalah mangsa dalam perkara itu, dan keputusan itu sendiri mengesahkan mereka tidak memalsukan sebarang dokumen bagi mendapatkan kelayakan, dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) secara jelas mengakui dokumen yang dikemukakan adalah tulen.

“Apabila tidak kurang daripada tujuh pemain berada dalam situasi yang sama, adalah jelas bahawa sebarang kemungkinan pemalsuan dokumen bukan berpunca daripada tindakan individu.

“Pemain juga tidak mempunyai cara untuk mendapatkan pengesahan mengikat secara individu daripada FIFA mengenai kelayakan mereka, suatu prosedur yang tidak diwajibkan di bawah peraturan semasa,” menurut kenyataan itu.

FIFPRO memaklumkan keadaan itu dianggap membimbangkan kerana pemain dipertanggungjawabkan terhadap dokumen yang sebenarnya dikemukakan oleh sebuah persatuan kebangsaan kepada FIFA, seolah-olah para pemain diwajibkan mengesahkan dokumen yang bukan mereka sendiri keluarkan atau serahkan.

FIFPRO memaklumkan tujuh pemain berkenaan telah mengikuti keseluruhan proses yang ditetapkan, termasuk mengemukakan dokumen peribadi, hadir di hadapan pihak berkuasa Malaysia, menjalani prosedur angkat sumpah, menerima pasport yang dikeluarkan kerajaan dan menunggu kelulusan kelayakan daripada FAM.

“Semua langkah diuruskan oleh institusi di luar kawalan mereka, namun kini mereka berdepan penggantungan daripada kelab serta akibat serius yang menyusul, tanpa sebarang kesalahan daripada pihak mereka.

“FIFPRO menyatakan sokongan penuh kepada para pemain dan percaya bahawa Mahkamah Timbang Tara Sukan akan mengetepikan ketidakadilan ini,” menurut kenyataan itu.

Pada 3 Nov lepas, FIFA menolak rayuan oleh FAM dan tujuh pemain warisan iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

Jawatankuasa Rayuan FIFA mengekalkan hukuman yang dikenakan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk bola sepak dunia itu terhadap FAM dan tujuh pemain naturalisasi berkenaan atas kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen di bawah Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

Sehubungan itu, FAM diarahkan membayar denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta) manakala setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (kira-kira RM11,000).

Ketujuh-tujuh pemain itu juga digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan