WILAYAH - TENGAH > BERITA

SLD: PEMATUHAN MENINGKAT KETARA, 48.37 PERATUS SETAKAT DISEMBER - LOKE

02/12/2025 02:18 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Tahap pematuhan penggunaan peranti kawalan had laju automatik (SLD) fasa pertama meningkat kepada 48.37 peratus setakat semalam (1 Dis) berbanding 2.68 peratus pada permulaan penguatkuasaan pada 1 Okt lepas, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Beliau berkata peningkatan itu hasil tindakan penguatkuasaan tegas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi fasa pertama melibatkan bas ekspres, bas pelancongan dan kenderaan barangan berat dengan muatan (BDM) melebihi 3,500 kilogram (kg).

“Kementerian Pengangkutan akan meneruskan penguatkuasaan SLD dengan tegas untuk mencapai tahap pematuhan yang lebih baik. Pemasangan dan pengesahan kefungsian peranti ini hendaklah dilakukan oleh pihak pengesah yang diiktiraf JPJ,” katanya.

Loke berkata setakat 15 Nov lepas, sebanyak 307 pihak pengesah telah berdaftar di seluruh negara untuk menjalankan pemasangan dan pengesahan kefungsian SLD.

Beliau menjawab pertanyaan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai pelaksanaan penguatkuasaan penggunaan SLD mulai Oktober 2025, termasuk tatacara pemeriksaan dan pematuhan pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Loke berkata pemilik kenderaan dikehendaki mengemukakan slip pengesahan dan laporan kefungsian SLD di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer serta menyimpan dokumen terbabit di dalam kenderaan bagi tujuan pemeriksaan di jalan raya.

Beliau berkata had kelajuan yang dikawal melalui SLD dapat mengurangkan risiko kemalangan akibat pemanduan laju, seterusnya meningkatkan tahap keselamatan semua pengguna jalan raya.

SLD ialah sistem kawalan kelajuan automatik yang mengehadkan kelajuan kenderaan secara elektronik melalui ECU tanpa mematikan enjin (cut-off), sekali gus memastikan operasi kenderaan kekal selamat.

Beliau berkata kerajaan turut membangunkan sistem telematik untuk disepadukan dengan SLD bagi membolehkan pemantauan lebih berkesan terhadap pergerakan kenderaan berat dan tingkah laku pemandu.

Pada masa ini, hanya pemasangan sistem kedudukan global (GPS) diwajibkan untuk bas dan kenderaan berat, manakala telematik masih dalam fasa proof of concept oleh Kementerian Pengangkutan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat.

“Kita sedang melihat beberapa model bagi membangunkan sistem ini. Proof of concept sedang berjalan dan telematik belum diwajibkan, namun kemungkinan dipertimbangkan secara berfasa pada masa hadapan,” katanya.

Loke berkata telematik yang dibangunkan kelak perlu mempunyai ciri integrasi dengan SLD bagi membolehkan pihak berkuasa memantau kenderaan berat serta tingkah laku pemandu melalui pangkalan data JPJ dan pihak polis.

Sementara itu, Loke berkata Malaysia tidak pernah mempertimbangkan atau memberikan permit bas ekspres kepada mana-mana syarikat asing, termasuk dari Singapura, dan bas dari republik itu hanya dibenarkan masuk sebagai bas persiaran atas dasar timbal balik.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan