WILAYAH - SARAWAK > BERITA

POLIS BONGKAR DUA PUSAT PANGGILAN PENIPUAN DALAM TALIAN DI SEPANG, TAHAN 24 WARGA ASING

02/12/2025 03:44 PM

‎SHAH ALAM, 2 Dis (Bernama) -- Polis percaya berjaya menumpaskan sindiket penipuan dalam talian membabitkan cabutan bertuah dan forex dalam serbuan di dua rumah teres tiga tingkat yang dijadikan pusat panggilan di Sunsuria City, Sepang, Rabu lepas.

‎Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata dalam serbuan pertama kira-kira 1 tengah hari melibatkan sindiket penipuan cabutan bertuah dalam talian, polis menahan 14 warga asing terdiri daripada 10 lelaki dan empat wanita berusia antara 25 hingga 37 tahun. 

‎‎Beliau berkata dalam serbuan kedua pada 5 petang di kawasan sama, polis menahan tujuh lelaki dan tiga wanita warga asing berusia antara 21 hingga 35 tahun terlibat sindiket penipuan forex dalam talian.

‎‎"Siasatan awal mendapati kedua-dua kes ini merupakan sindiket yang berlainan yang menyasarkan warga China sebagai mangsa. Dipercayai mereka (suspek) masuk ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak Jun lepas menggunakan pas lawatan sosial dan pas kerja.

‎‎"Semakan juga sedang dibuat dengan Jabatan Imigresen (JIM) bagi mengesahkan ketulenan dokumen mereka," katanya pada sidang media di sini hari ini. 

‎Shazeli berkata bagi penipuan cabutan bertuah, suspek menggunakan aplikasi 'QQ (Jin Chan)' sebagai platform e-iklan bagi mendorong mangsa membeli nombor bertuah yang menjanjikan hadiah wang tunai sedangkan ia tidak wujud.

‎‎Beliau berkata bagi penipuan forex, suspek terlibat akan mencari mangsa menerusi aplikasi 'Tonghuasun' sebelum menggunakan Telegram bagi urus niaga dengan mangsa dijanjikan pulangan keuntungan yang tinggi sedangkan pelaburan terbabit tidak wujud.

“Jumlah rampasan bagi kedua-dua kes adalah sebanyak RM60,000 melibatkan barangan antaranya komputer riba, telefon bimbit serta router,” katanya.

Kesemua individu berkenaan, katanya kini direman seminggu hingga esok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 dan Seksyen 120B Kanun Keseksaan. 

‎-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan