WILAYAH - SARAWAK > BERITA

SELANGOR KOMITED SELESAI ISU PERUMAHAN STRATA SECARA MENYELURUH - MB

02/12/2025 05:34 PM

SHAH ALAM, 2 Dis (Bernama) -- Selangor komited menyelesaikan isu perumahan berstrata secara menyeluruh melalui tiga fokus utama melibatkan pemilikan strata, menaik taraf infrastruktur dan pembangunan sosial komuniti.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata usaha ke arah keselesaan dan kesejahteraan penduduk berkenaan disokong dengan peruntukan lebih besar disediakan bagi menjamin penyelesaian holistik, khususnya di kawasan pangsapuri dan pangsapuri kos rendah berusia lebih 50 tahun.

Beliau berkata kerajaan negeri sedang menyelesaikan isu paling asas kepada penyelesaian tersebut iaitu pemilikan strata yang tertangguh sekian lama, antara lain disebabkan kegagalan sesetengah pemaju menunaikan tanggungjawab.

"Pada 2026, kita anggarkan 10 kawasan apartmen akan berjaya diselesaikan isu strata, malah pada tahun ini sudah ada senarai yang sedang berjalan. 

"Tanpa hak milik strata, banyak manfaat tidak dapat dinikmati penduduk, dan bagi pihak kerajaan negeri, kita tidak dapat laksanakan pengenalan cukai petak secara lebih berkesan," katanya ketika berucap pada Majlis Pemberian Bantuan Projek Skim Ceria Tahun 2025 di sini pada hari ini.

Hadir sama Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Datuk Borhan Aman Shah.

Amirudin berkata bagi tujuan itu, kerajaan negeri telah menyediakan dana khas untuk mempercepat proses melibatkan pelan ukur, urusan peguam dan kelulusan pejabat tanah yang kini diteliti Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Beliau berkata untuk keselesaan dan keselamatan penduduk, peruntukan bagi Skim Ceria untuk menaik taraf dan baik pulih infrastruktur asas seperti lif, sistem kumbahan dan pendawaian elektrik ditambah kepada RM5 juta tahun hadapan.

"Setiap tahun kita peruntuk RM3 hingga RM4 juta, tetapi untuk tahun hadapan kita naikkan kepada RM5 juta untuk pastikan lebih banyak pangsapuri dapat dibaik pulih,” katanya.

Amirudin berkata penyelesaian isu perumahan strata turut dilaksanakan dengan kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan sosial melalui Program Rewang Komuniti selain kemudahan perpustakaan serta projek sosial lain.

Beliau berkata isu di kawasan pangsapuri tidak hanya berkisar kepada lif rosak, bumbung atau longkang tersumbat tetapi masalah hubungan sosial, tekanan hidup dan sejarah konflik panjang yang perlu ditangani dengan lebih baik.

"Sebab itu kita masuk dengan program sosial untuk pulihkan semangat komuniti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Amirudin berkata kerajaan negeri kini bersedia berdepan cabaran bagi menjayakan pembangunan semula pangsapuri atau kawasan perumahan lama yang dibina sejak 1970-an melalui model ‘menang-menang’ kepada penduduk.

Beliau berkata sebagai permulaan pihaknya akan meminta LPHS dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT) menjayakan pembangunan semula satu atau dua ‘perumahan usang’ menjelang 2027.

Kerajaan negeri, katanya mahu memastikan kawasan perbandaran lama tidak menjadi usang dan terus relevan seiring peningkatan status bandar raya beberapa PBT termasuk Subang dan Klang.

"Ini cabaran besar kerana melibatkan penempatan semula penduduk, kos tinggi dan perancangan menyeluruh, tidak terkecuali kerjasama penduduk,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan