WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KAMPUNG ANGKAT MADANI BERI SINAR HARAPAN PENDUDUK KAMPUNG TORONG LOGONG

02/12/2025 06:38 PM

Oleh Suraidah Roslan

KOTA KINABALU, 2 Dis (Bernama) -- Jika dahulu setiap kali berlaku kecemasan terutamanya pada waktu malam, penduduk Kampung Torong Logong di Pulau Gaya berasa risau untuk mencari bot ke tanah besar, walaupun ia hanya 10 minit perjalanan melalui laut.

Ketiadaan bot tetap sering menyukarkan penduduk di sini tetapi keresahan itu kini tinggal kenangan sahaja.

Melalui Program Kampung Angkat MADANI (KAM), penduduk kampung itu telah menerima sebuah bot baharu berkapasiti 20 penumpang yang bukan sahaja memudahkan urusan seharian tetapi menjadi penyelamat ketika berdepan situasi kecemasan.

Pengerusi Kelab Belia Inspirasi Kampung Torong Logong, Azim Majalan, 36, berkata sebelum adanya kemudahan itu, sebanyak 230 penduduk di pulau berkenaan sering berdepan kesukaran untuk ke pusat bandar, terutama pada waktu malam.

“Sebelum ini, jika berlaku kecemasan pada tengah malam, sukar untuk mendapatkan bot kerana kebanyakan juragan sudah tidur dan proses mencari bot mengambil masa yang lama.

“Namun, dengan adanya bot baharu di bawah program KAM, ia telah membawa satu perubahan ketara terhadap kehidupan penduduk pulau ini,” katanya kepada Bernama.

Pengendali bot KAM Muhamirin Saratal, 49, berkata penyediaan bot berkapasiti 20 penumpang itu bukan sahaja memberi peluang pekerjaan kepada belia sebagai juragan dan kru, malah membolehkan mereka menjana pendapatan tambahan melalui perkhidmatan sewaan bot.

Beliau berkata mereka menjalin kerjasama dengan agensi pelancongan bagi menyediakan khidmat bot untuk tujuan memancing mahupun membawa pelancong ke pulau.

“Kegunaan utama bot ini adalah untuk kes kecemasan seperti menghantar orang sakit mahupun ibu mengandung pada waktu malam kerana bot tambang hanya beroperasi sehingga 9 malam.

“Di samping itu, bot itu turut digunakan untuk menghantar atau mengambil pelajar sekolah pada musim hujan,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Gaya, Shyalmiyah Hassan,17, bot KAM turut memberi manfaat kepada pelajar, terutama pada musim hujan kerana ia digunakan untuk menghantar mereka ke sekolah.

“Perjalanan menaiki bot lebih singkat berbanding berjalan kaki yang mengambil masa selama 30 minit. Jadi, apabila ada kemudahan pengangkutan sebegini, kehadiran ke sekolah ketika musim hujan juga lebih baik,” katanya.

Selain pemberian bot, pelbagai inisiatif turut dilaksanakan di bawah program itu seperti pembinaan jeti, laluan pejalan kaki, pemasangan lampu solar serta membaik pulih surau. Semua projek ini telah siap dan mula digunakan sejak Dis 2024 dan penduduk disini mendapat pelbagai manfaat.

“Terdapat juga laluan konkrit yang memudahkan pergerakan pelajar menuju ke jeti, berbeza dengan dahulu mereka terpaksa meredah permukaan berpasir,” katanya.

Shyalmiyah berkata selepas laluan konkrit pejalan kaki selesai dibina, banyak keluarga mula membeli basikal untuk anak-anak bermain, sekali gus memanfaatkan kemudahan berkenaan.

Selain itu, ia turut memberi ruang kepada penduduk melakukan aktiviti riadah ringan dengan lebih selesa, kebiasaannya selepas subuh dan pada waktu petang. Jika dahulu, anak-anak muda di kampung ini lebih gemar bermain telefon bimbit pada waktu petang,” katanya.

Beliau berkata penduduk di situ juga mula merancang untuk membangunkan produk pelancongan bagi membantu belia menjana pendapatan dengan membuka gerai makan dan menjual kraf tangan.

Guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), Mariati Jaka’a, 47, berkata pemasangan lampu solar membolehkan penduduk bergerak dengan lebih selamat pada waktu malam, terutama untuk membeli keperluan dapur.

“Kalau dahulu kami jalan dalam kegelapan, bimbang binatang liar. Kini, dengan adanya lampu solar, pergerakan kami pada waktu malam lebih mudah. Belia yang pulang lewat dari tempat kerja juga tidak lagi risau berjalan dalam keadaan gelap.

Mariati berkata apabila kampung itu dipilih sebagai satu daripada KAM, kemudahan infrastruktur yang diterima oleh penduduk kampung berkenaan bertambah baik dengan satu lagi projek di bawah KAM, iaitu telaga tiub.

Beliau berkata pembinaan telaga tiub memudahkan penduduk mendapatkan bekalan air bersih untuk kegunaan harian, berbanding sebelum ini mereka terpaksa membeli air secara pukal pada harga sekitar RM8 setiap tong.

Projek pembangunan di bawah KAM di Kampung Torong Logong, Pulau Gaya yang dilaksanakan Kementerian Digital melibatkan peruntukan berjumlah RM2.4 juta.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan