PUTRAJAYA, Dis 2 (Bernama) -- Mahkamah Rayuan di sini hari ini memerintahkan usahawan Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman membayar ganti rugi nominal berjumlah RM10,000 kepada dua bekas rakan kongsinya dalam satu kes saman berhubung kemungkiran perjanjian persetujuan.
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Azizul Azmi Adnan membenarkan rayuan yang difailkan oleh Iylia Nurdiyana Jasny and Mohd Syazwan Roslan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini menolak saman mereka terhadap Aliff Syukri.
Hakim Azizul berkata mahkamah berpendapat Aliff Syukri telah memungkiri obligasinya untuk mempromosikan restoran milik pasangan suami isteri itu selepas tiga bulan kontrak ditandatangani antara mereka.
Beliau bagaimanapun berkata perayu-perayu gagal membuktikan bahawa ganti rugi yang dituntut mereka berpunca daripada Aliff Syukri yang didakwa memungkiri obligasi promosi tersebut, maka mahkamah hanya memerintahkan ganti rugi nominal sebanyak RM10,000.
Panel itu, yang turut dianggotai Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin dan Datin Paduka Evrol Mariette Peters turut memerintahkan Aliff Syukri membayar kos guaman sebanyak RM30,000.
Iylia and Mohd Syazwan, pemilik perniagaan Belanga Bonda Kitchen telah mengemukakan saman untuk mendapatkan deklarasi bahawa perjanjian persetujuan yang ditandatangani antara Iylia dan Aliff Syukri yang ketika itu pemilik perniagaan Rumah Makan Terlajak Laris telah ditamatkan.
Mereka juga memohon supaya wang sebanyak RM285,000 yang dibayar mereka kepada usahawan itu dikembalikan.
Pada 6 Dis 2018, satu perjanjian ditandatangani oleh Aliff Syukri dengan seorang penama Noorazlina Othman dan Iylia untuk menggunakan nama dan konsep usahawan itu sebagai satu perniagaan restoran.
Antara terma perjanjian itu Aliff Syukri akan menjual perniagaan Rumah Makan Terlajak Laris di Kota Damansara kepada pasangan berkenaan dengan harga RM285,000 dan perlu mempromosikan restoran tersebut sepanjang tempoh perjanjian dalam media sosialnya.
Bagaimanapun, Iylia dan Mohd Syazwan mendakwa setelah tiga bulan dari tarikh pembelian, Aliff Syukri dikatakan telah gagal untuk membuat sebarang promosi seperti dalam perjanjian menyebabkan hasil jualan restoran berkenaan terjejas.
Dalam prosiding di Mahkamah Rayuan, peguam Muhammad Azraai Mohamed Yunos, Fozi Addhwa Mohamad Fozi dan Thaqif Hadif Ahmad Taju’d-din mewakili Iylia dan Mohd Syazwan, manakala peguam Hasshahari Johari Mawi dan Mohd Rosly Khady Ayub Khan mewakili Aliff Syukri.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial