WILAYAH - SABAH > BERITA

KERAJAAN SABAH TERIMA SUNTIKAN BAHARU DENGAN KEHADIRAN EMPAT ADUN BEBAS

02/12/2025 08:52 PM

KOTA KINABALU, 2 Dis (Bernama) -- Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas menyifatkan pelantikan mereka sebagai Pembantu Menteri Sabah satu perkembangan penting yang membuka ruang lebih inklusif dalam struktur kepimpinan negeri, memastikan suara blok bebas diwakili dalam Kerajaan Sabah.

ADUN Kukusan Datuk Rina Jainal berkata langkah itu memberi ruang lebih luas kepada wakil bebas untuk menyumbang idea dan pandangan dalam memperkukuh hala tuju pembangunan di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Rina berharap beliau dapat membawa pendekatan baharu yang segar dan relevan selaras keperluan semasa.

"Ia permulaan yang baik sebab sekurang-kurangnya ada suara bebas di dalam Kabinet dan dengan perkembangan baharu ini saya melihat Datuk Seri Hajiji Noor memang sangat terbuka dan kita berharap dapat memberi nafas baharu kepada Kabinet untuk hala tuju seterusnya," katanya kepada Bernama selepas istiadat angkat sumpah jawatan di Istana Seri Kinabalu.

Empat ADUN Bebas mengangkat sumpah jawatan Pembantu Menteri di hadapan Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman, yang turut dihadiri isteri Toh Puan Faridah Tussin.

Selain Rina, turut mengangkat sumpah ialah ADUN Pintasan Datuk Fairuz Renddan, Datuk Dr Maijol Mahap (Bandau) dan Jordan Jude Ellron (Tulid).

Dalam pada itu, Jordan berkata pelantikan itu membuka peluang kepada wakil muda untuk membawa aspirasi generasi baharu ke peringkat kerajaan negeri, lebih-lebih lagi melalui platform Bebas yang tidak terikat dengan mana-mana parti.

"Sebagai pembantu menteri di bawah blok bebas, saya tidak terikat dengan mana-mana presiden parti. Jadi saya boleh menyampaikan hasrat anak muda itu kepada atasan tanpa dihalang ataupun disekat mana-mana pihak," katanya.

Secara keseluruhan, 17 ADUN mengangkat sumpah sebagai Pembantu Menteri Sabah hari ini termasuk seorang ADUN dilantik Datuk Caesar Mandela Malakun.

Pelantikan itu melibatkan 11 ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS), empat Bebas, seorang daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan seorang ADUN dilantik.

Pada awal pagi Ahad lepas, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sabah ke-17, manakala semalam 10 ADUN mengangkat sumpah sebagai anggota Kabinet negeri.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan