KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Felda dan FGV Holdings Berhad (FGV) sedang menjalankan proses semakan menyeluruh ke atas semua dokumen berkaitan bagi menyelesaikan isu notis amaran yang dikeluarkan Kerajaan Terengganu ke atas lot ladang milik agensi itu dan anak syarikatnya.
Felda dan FGV dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan proses semakan itu merangkumi sejarah, rekod pembayaran, bayaran premium tanah, status hak milik dan syarat-syarat pembangunan ladang.
Langkah itu susulan notis amaran pendudukan secara tidak sah/kesalahan menceroboh yang dikeluarkan ke atas ladang lot Felda dan FGV di daerah Besut, Setiu, Dungun, Hulu Terengganu, Marang dan Kemaman pada 30 Nov, 1 Dis dan 2 Dis.
“Proses semakan ini dilaksanakan secara teliti melalui audit tanah yang komprehensif dan verifikasi silang dengan data pihak berkuasa negeri bagi memastikan ketepatan dan kelengkapan semua maklumat. Felda dan FGV akan bertindak berdasarkan rekod rasmi dan dokumentasi yang disahkan serta disokong fakta,” menurut kenyataan itu.
Felda dan FGV memaklumkan walaupun Kerajaan Terengganu mempunyai bidang kuasa dalam urus tadbir tanah, namun tempoh tiga hari diberikan dalam notis amaran untuk Felda dan FGV mengosongkan atau merobohkan struktur binaan serta memusnahkan tanaman, amat ketat dan singkat dari sudut pengurusan ladang dan operasi komersial.
Menurut kenyataan itu lagi, Felda mempunyai hak dan asas di bawah Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 yang memberi mandat dan tanggungjawab secara langsung kepada Felda untuk membangunkan Kawasan Penempatan Berkelompok (GSA) yang juga selaras kuasa diberikan di bawah Akta Pembangunan Tanah 1956.
“Pembangunan ladang komersial Felda dan FGV di Terengganu selama ini bertujuan menjana pendapatan bagi menyokong pembangunan komuniti, penyediaan infrastruktur dan pelaksanaan program peningkatan sosioekonomi peneroka.
“Ekosistem perladangan secara lestari melibatkan pengeluaran buah sawit hinggalah kepada pemprosesan buah tandan segar (BTS) ke jualan minyak sawit dilakukan anak syarikat Felda iaitu FGV.
“Operasi ini turut memainkan peranan penting dalam merancakkan aktiviti ekonomi setempat melalui peluang pekerjaan, perkhidmatan sokongan dan rantaian industri lain di negeri tersebut,” menurut kenyataan itu.
Felda dan FGV mengakui wujudnya pelbagai pandangan dan spekulasi, namun menegaskan bahawa isu ini akan ditangani sepenuhnya secara profesional melalui prosedur perundangan bagi menjamin ketelusan dan keadilan dalam setiap tafsiran serta keputusan yang akan dibuat.
Felda dan FGV memaklumkan sedang meneliti implikasi undang-undang secara mendalam dan akan mengambil semua langkah perlu bagi mengurus kesannya supaya kepentingan peneroka terus terpelihara, termasuk kesinambungan pendapatan 1,283 pekerja yang bergantung sepenuhnya kepada operasi ladang-ladang itu.
“Kebajikan pekerja Felda dan FGV, kepentingan komuniti peneroka serta kestabilan sosioekonomi komuniti setempat akan terus dipertahankan sebagai keutamaan tertinggi dalam sebarang proses dan penyelesaian,” menurut kenyataan itu.
Felda dan FGV memaklumkan notis-notis amaran yang dikeluarkan Kerajaan Terengganu tidak memberi sebarang kesan terhadap operasi ladang peneroka dan seluruh komuniti peneroka di Felda Wilayah Terengganu dengan mereka boleh meneruskan aktiviti sara hidup seperti biasa.
“Bagaimanapun, notis-notis amaran ini mempunyai implikasi langsung terhadap operasi Felda dan FGV khususnya perancangan jangka panjang dan kelancaran aktiviti komersial berkaitan, termasuk penurunan hasil yang menyumbang kepada pendapatan negara, sekali gus memberi kesan kepada komuniti peneroka,” menurut kenyataan itu.
Felda dan FGV memaklumkan kekal optimis penyelesaian terbaik dapat dicapai melalui proses perundangan antara semua institusi kerajaan yang terlibat.
“Felda dan FGV beriltizam memastikan setiap tindakan dilaksanakan selaras peruntukan undang-undang dengan tetap memelihara kepentingan pekerja, komuniti peneroka, menghormati bidang kuasa negeri serta menyumbang kepada kestabilan industri perladangan negara secara keseluruhan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial