WILAYAH - SARAWAK > BERITA

DEEPSEEK LANCAR MODEL AI BAHARU DENGAN KECEKAPAN DAN PRESTASI TERTINGGI

02/12/2025 10:19 PM

HANGZHOU, 2 Dis (Bernama-Xinhua) -- Syarikat teknologi AI China, DeepSeek, pada petang Isnin mengumumkan pelancaran dua model baharu - DeepSeek-V3.2 dan varian berkuasa tinggi, DeepSeek-V3.2-Speciale, lapor Xinhua.

Dengan melaksanakan protokol pembelajaran pengukuhan yang mantap serta meningkatkan pengiraan pascalatihan, DeepSeek-V3.2 menunjukkan prestasi setanding dengan GPT-5, menurut syarikat itu. Model AI tersebut menyeimbangkan kecekapan pengiraan tinggi sambil mengekalkan prestasi penaakulan dan keupayaan ejen yang cemerlang.

Persaingan dalam kalangan syarikat teknologi global utama dalam arena model AI semakin sengit. Pada Ogos lalu, OpenAI melancarkan model utamanya, GPT-5, yang digambarkan sebagai model paling pintar dan terpantas setakat ini. Pada November pula, Google memperkenalkan sistem AI terbaharunya, Gemini-3.0-Pro.

Varian berkuasa tinggi DeepSeek-V3.2-Speciale yang berintensiti pengiraan tinggi mengatasi GPT-5 dan mempamerkan kecekapan penaakulan yang setanding dengan Gemini-3.0-Pro, menurut esei yang dikeluarkan oleh syarikat itu. Varian tersebut mencapai prestasi pingat emas dalam Olimpik Matematik Antarabangsa 2025 dan Olimpik Informatik Antarabangsa.

Satu daripada pencapaian teknikal utama di sebalik pembangunan ini ialah mekanisme DeepSeek Sparse Attention, yang mengurangkan kerumitan pengiraan secara ketara sambil mengekalkan prestasi model dalam senario konteks panjang.

Ditubuhkan pada Julai 2023, DeepSeek memberi tumpuan kepada penyelidikan dan pembangunan model bahasa besar serta teknologi AI multimodal.

-- BERNAMA-XINHUA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan