WILAYAH - SARAWAK > BERITA

PIALA DUNIA REMAJA: YOUNG TIGERS KEMPUNAN KE SUKU AKHIR

02/12/2025 10:57 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Skuad hoki lelaki kebangsaan terlepas peluang ke suku akhir apabila tewas 1-3 kepada England, dalam aksi terakhir Kumpulan E, Piala Dunia Remaja 2025 di Stadium Hoki Antarabangsa Madurai, Tamil Nadu, India hari ini.

England tidak menunggu lama untuk membuka jaringan menerusi Henry Markham yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit keempat dan menggandakan kedudukan menerusi gol padang Michael Royden pada minit ke-36.

Malaysia merapatkan jurang menerusi Azimuddin Kamaruddin yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-47 namun pasukan lawan melengkapkan kemenangan mereka menerusi gol padang oleh Alex Chihota, tiga minit sebelum perlawanan tamat.

Terdahulu, Belanda muncul juara kumpulan E selepas membelasah Austria 11-0.

Belanda menghuni kedudukan teratas dengan sembilan mata, diikuti England di tempat kedua dengan enam mata), Malaysia ketiga dengan tiga mata manakala Austria di tempat tercorot tanpa sebarang mata.

Anak buah Nor Saiful Zaini Nasiruddin memulakan kempen kejohanan tersebut dengan menang 5-1 ke atas Austria, Sabtu lepas, sebelum dibelasah 0-6 oleh Belanda, pada Ahad.

Hanya juara kumpulan dan dua pasukan naib juara terbaik mara ke suku akhir manakala empat pasukan naib juara lain serta empat pasukan ketiga terbaik akan beraksi dalam perlawanan klasifikasi tempat kesembilan hingga ke-16.

Baki pasukan lain berentap dalam perlawanan klasifikasi ke-17 hingga ke-24.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan