WILAYAH - SARAWAK > BERITA

KERJASAMA PERSEKUTUAN, NEGERI PERKUKUH TINDAKAN BANJIR DAN PENGURUSAN AIR - PM ANWAR

02/12/2025 11:09 PM

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan komitmen kerajaan memperkukuh kerjasama Persekutuan dan negeri bagi memastikan tindakan segera dan proaktif dalam menangani banjir serta pengurusan air negara.

Menerusi hantaran di Facebook, Anwar menekankan perkara itu ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Air Negara ketujuh, yang menjadi platform tertinggi penyelarasan dasar dan hala tuju pengurusan air antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

"Hakikatnya, menghadapi bencana memerlukan sinergi dan iltizam yang padu antara kerajaan Persekutuan dan negeri, justeru kita akan terus memperkukuh kerjasama bagi merangka penyelesaian menyeluruh, termasuk memastikan pemantauan rapi dan pelaksanaan segera projek-projek tebatan banjir," kata beliau.

Anwar berkata mesyuarat berkenaan turut meneliti status semasa banjir yang melanda beberapa negeri, sambil merakamkan penghargaan kepada petugas barisan hadapan di semua peringkat kerajaan yang komited membantu mangsa.

"… dan kesempatan ini saya gunakan bagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh petugas barisan hadapan, sama ada peringkat Persekutuan mahupun negeri yang terus komited membantu rakyat yang terkesan dengan bencana ini," kata beliau.

Perdana Menteri berkata mesyuarat itu juga menerima taklimat terperinci mengenai status pengoperasian empangan serta pengurusan sumber air di seluruh negara bagi memastikan semua infrastruktur berada pada tahap optimum, selamat dan berdaya tahan.

"Insya-Allah, segala keputusan yang dipersetujui hari ini akan diterjemahkan kepada tindakan segera dan proaktif demi menjaga kebajikan, keselamatan serta kesejahteraan rakyat," kata beliau.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan