KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) menzahirkan komitmen untuk terus memperkukuh peranan pergerakan itu dalam membina sahsiah, kepimpinan dan jati diri generasi muda, selaras aspirasi hala tuju strategik badan itu ke arah pembentukan belia berdaya saing.
Ketua Pengakap Negara Mejar Jeneral Datuk Prof Dr Mohd Zin Bidin berkata pengakap merupakan platform pendidikan tidak formal yang terbukti membina disiplin, kepimpinan dan patriotisme selama lebih 117 tahun, selain menjadi sebahagian daripada rangkaian belia global dengan lebih 60 juta ahli di 174 negara.
“PPM kini memberikan tumpuan kepada beberapa inisiatif termasuk latihan kepimpinan abad ke-21, pemerkasaan program belia kreatif dan responsif, pengembangan bakat dalam teknologi serta alam sekitar, selain memperkukuh integriti tadbir urus dan jaringan kerjasama dengan kerajaan, industri dan media,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Bersama Media PPM 2025, di sini malam ini.
Pada masa sama, beliau berkata media memainkan peranan besar dalam mengangkat suara anak muda dan membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami peranan pengakap dalam membina masa hadapan negara.
“Kerjasama rakan-rakan media memainkan peranan strategik dalam memperkukuh profil, pengaruh dan kesinambungan pergerakan pengakap pada peringkat nasional
Beliau berkata dengan sokongan media juga, kisah-kisah positif akan terus menjadi inspirasi, suara belia akan terus didengari, dan membantu usaha pengakap untuk terus mendapat tempat di hati rakyat dan negara.
Pada majlis itu, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) turut menerima Anugerah Media Liputan Cemerlang yang disampaikan Mohd Zin kepada Penolong Editor Perkhidmatan Berita Bernama, V. Sankara Subramaniam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial