KUCHING, 7 Dis (Bernama) -- Dua kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang dilaporkan hilang di Kampung Pasir Pandak, Santubong dekat sini semalam, ditemukan selamat pagi ini.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, dua kanak-kanak berkenaan dijumpai penduduk kampung di Batu Gelingan berhampiran dengan pantai, iaitu kira-kira satu kilometer daripada pusat kawalan oeprasi pada 9.50 pagi.
“Kedua-dua mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Umum Sarawak bagi mendapatkan rawatan selanjutnya dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 10.06 pagi,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, PGO telah melaporkan dua kanak-kanak perempuan masing-masing berusia lima tahun dilaporkan hilang ketika menuju ke rumah neneknya untuk bermain dengan sepupu kira-kira 9 pagi semalam.
Kejadian disedari bapanya pada 11 pagi hari sama, dan usaha pencarian awal telah dilakukan oleh keluarga di sekitar kawasan kampung namun gagal menemukan mereka.
Laporan polis berkaitan kehilangan dua kanak-kanak terbabit juga telah dibuat 6 petang.
Bapa saudara kepada seorang daripada mangsa Mohd Zulkifli Safiee berkata dia tergerak hari untuk mencari semula di kawasan yang telah diperiksa sebelumnya, kerana yakin mereka masih berada di situ.
“Ketika menemui mereka, saya tanya kenapa pergi ke kawasan itu, mereka mengatakan ada ‘kakak’ yang membawa mereka mandi laut tersebut. Kedua-duanya dijumpai duduk di atas batu tersebut dalam keadan lemah dan keliru,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Terdahulu, turut hadir di lokasi pencarian Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri bagi mengetahui perkembangan semasa operasi tersebut dan juga untuk menemui keluarga kanak-kanak itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial