KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima sekeping cakera padat (CD) berkaitan insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka, yang diserahkan oleh ahli keluarga seorang daripada suspek terlibat, semalam.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata CD berkenaan dipercayai mengandungi rakaman audio perbualan telefon antara suspek dan isterinya sebelum kejadian berkenaan berlaku.
Beliau berkata bagi memperkukuh siasatan, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) menubuhkan pasukan siasatan khas diketuai seorang pegawai kanan berpangkat Senior Assistant Commissioner (SAC) bagi mengambil alih dan mengendalikan siasatan ini secara menyeluruh di peringkat Bukit Aman, pada Rabu lepas.
“Langkah ini diambil bagi memastikan setiap aspek siasatan diteliti secara teratur, profesional dan tanpa sebarang kompromi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata PDRM komited menjalan siasatan secara menyeluruh, penuh integriti dan tidak berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku.
Justeru, beliau meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan integriti siasatan sedang dijalankan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung insiden itu diminta tampil menyalurkannya melalui talian hotline 019-376 4763 bagi membantu usaha menjaga keselamatan serta ketenteraman awam.
Pada 24 Nov lepas, Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar memaklumkan tiga penjenayah berusia 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka melibas parang terhadap seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Kejadian pada 4.30 pagi itu menyebabkan anggota polis berpangkat koperal, berusia awal 30-an cedera parah pada lengan kiri.
Kesemua suspek daripada “Geng Durian Tunggal” itu dikesan dalam perjalanan untuk menyamun sebuah premis dan aktif melakukan jenayah sejak 2024, membabitkan 20 kes di Melaka serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan dan Selangor, dengan kerugian RM1.35 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial