WILAYAH - SARAWAK > BERITA

FAKTOR KECUAIAN DIPERCAYAI PUNCA SUV JATUH GAUNG

07/12/2025 03:07 PM

KUALA BERANG, 7 Dis (Bernama) -- Polis percaya faktor kecuaian punca berlakunya kemalangan melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah) melibatkan pasangan bakal pengantin pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Supt Sharudin Abd Wahab berkata siasatan mendapati tiada kesan brek ditemui di lokasi kejadian.

Beliau berkata SUV itu juga dipercayai terus menghala ke kawasan jalan terputus sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam 61 meter.

"Hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati kelajuan kenderaan juga tidak tinggi berdasarkan serpihan kenderaan yang ditemui di lereng bukit.

"Biasanya jika pemandu memandu laju kenderaan akan melayang sedikit sebelum terjatuh. Namun setelah meneliti serpihan kenderaan di lereng bukit, kita yakin kenderaan ini tidak dipandu laju...terus terjunam ke bawah gaung.

"Kita percaya punca kemalangan lebih kepada faktor kecuaian iaitu tidak memberi tumpuan penuh ketika memandu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Sharudin berkata operasi mengeluarkan kenderaan itu dari gaung semalam mengambil masa hampir empat jam susulan hujan lebat.

Menurut beliau pemeriksaan pada kenderaan tersebut menemukan tapak kamera papan pemuka (dashcam), namun alat kamera tidak ditemui dan dipercayai tercampak semasa kejadian.

"Operasi membawa naik SUV bermula 2 petang semalam. Kenderaan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata polis akan menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan undang-undang kepada mana-mana pihak yang mengalih atau mengganggu tanda amaran atau keselamatan di lokasi terbabit.

Katanya, pihak berwajib telah meletakkan banyak tanda amaran dan penghadang konkrit di lokasi tersebut tetapi dialih oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Dalam kejadian petang Jumaat lepas, sepasang bakal pengantin dari arah Hulu Terengganu menghala ke Gua Musang, Kelantan maut di lokasi kejadian selepas kenderaan dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung ketika melalui jalan yang ditutup.

Sebelum ini jalan berkenaan ditutup kepada semua kenderaan akibat tanah runtuh berikutan hujan lebat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan