WILAYAH - TENGAH > BERITA

KKDW TUMPU PEMBANGUNAN INKLUSIF LUAR BANDAR, PINGGIR BANDAR - AHMAD ZAHID

07/12/2025 03:33 PM

PUTRAJAYA, 7 Dis (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memberi tumpuan bukan sahaja kepada pembangunan masyarakat luar bandar, tetapi juga komuniti yang tinggal di pinggir bandar, selaras dengan usaha memastikan pembangunan dirancang bersifat menyeluruh dan inklusif.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kelompok masyarakat luar bandar kini merangkumi 8.1 juta penduduk daripada keseluruhan 34.5 juta penduduk Malaysia, sekali gus menuntut perancangan pembangunan lebih menyeluruh.

“Fokus kami bukan hanya di kawasan luar bandar, tetapi juga di pinggir bandar. Terdapat juga agensi di bawah KKDW yang menyantuni masyarakat dalam bandar, Majlis Amanah Rakyat (MARA) umpamanya,” katanya pada sesi dialog awam berlangsung 30 minit sempena majlis perasmian penutup Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku di sini hari ini.

Turut serta pada sesi dialog awam itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dengan moderator Nazri Kahar.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata dasar pembangunan luar bandar digarap dengan teliti bagi memastikan objektif digariskan kerajaan untuk membantu masyarakat luar bandar tercapai.

Ini termasuk mewujudkan peluang ekonomi untuk masyarakat luar bandar, mengurangkan kadar migrasi ke bandar, memastikan akses pendidikan diwajibkan untuk semua pendudukan luar bandar, memperluas liputan komunikasi terutamanya 5G di kawasan berpenduduk rendah, serta menstruktur semula aspek sosial di luar bandar.

Beliau berkata kelima-lima teras itu diterjemahkan melalui 42 pemangkin perubahan serta pelaksanaan dua sesi pemukiman setiap tahun, yang melibatkan semua jabatan, agensi dan unit di bawah KKDW bagi memastikan transformasi berjalan seragam di seluruh negara.

Pada masa sama, beliau berkata kerajaan juga tidak meminggirkan masyarakat Orang Asli dengan merangka dan melaksanakan pelbagai program pembangunan yang telah memberikan manfaat kepada golongan terbabit.

Ahmad Zahid berkata dari segi pendidikan, dapat dilihat peningkatan kemasukan pelajar daripada kaum Orang Asli ke institut pengajian tinggi.

“Setiap tahun saya menyasarkan antara 400 ke 600 anak-anak Orang Asli masuk ke universiti. Tetapi untuk tempoh tiga tahun di bawah Kerajaan MADANI, pencapaian kemasukan anak-anak Orang Asli ke universiti adalah sebanyak 1,349 (setakat November 2025), pencapaian tertinggi.

“(Selain itu), di bawah program perumahan untuk Orang Asli, Perdana Menteri telah memperkenalkan satu skim perumahan yang memberikan peluang kepada mereka untuk tinggal di tempat atau di lokasi di mana mereka berada tetapi skim perumahan itu telah ditransformkan dengan satu kaedah pembinaan yang baru dan mempercepatkan pembinaannya,” katanya.

Beliau berkata pelbagai inisiatif yang dilaksanakan untuk masyarakat luar bandar telah membantu mengurangkan kadar migrasi dari luar bandar dan pinggir bandar ke bandar, iaitu daripada 3.1 peratus sebelum ini kepada 2.3 peratus tahun ini. 

“Ini semua adalah hasil daripada 167 program yang telah dikenalkan Kerajaan MADANI selama tiga tahun ini,” katanya.

Menjawab soalan moderator berkaitan ada kawasan di Sabah yang pembangunannya disifatkan unserved dan underserved , Ahmad Zahid berkata kerajaan telah mengenal pasti masalah “tiga serangkai” iaitu berkaitan insfrastruktur rosak, bekalan air dan elektrik.

“Perdana Menteri telah memberikan empowerment atau kuasa iaitu projek yang RM50 juta ke bawah dilaksanakan sendiri kerajaan negeri dengan peruntukannya terus disuntik ke perbendaharaan negeri.

“Insya-Allah saya “buta warna” untuk melaksanakan program-program luar bandar yang lebih kerap di Sabah tanpa mahu meninggalkan Sarawak, kerana Sarawak telah berada dan terpacu ke hadapan berbanding Sabah. Saya wajib membantu rakyat Sabah dari segi pembangunan di luar bandar,” katanya.

Program Rancakkan MADANI selama tiga hari bermula Jumaat lepas, menampilkan lebih 300 perkhidmatan sentuhan rakyat, karnival kerjaya, pameran interaktif, hiburan keluarga dan pelbagai tawaran istimewa kepada orang ramai.

Program Rancakkan MADANI ialah kesinambungan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI dan Program Dua Tahun Kerajaan MADANI yang menjadi tradisi pelaporan tahunan kerajaan secara langsung kepada rakyat.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan