WILAYAH - SARAWAK > BERITA

LAGI 200,000 PKS DIJANGKA RAIH MANFAAT DARIPADA PENINGKATAN AMBANG E-INVOIS - SAMENTA

07/12/2025 03:35 PM

KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- Kira-kira 200,000 lagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dijangka dikecualikan daripada e-Invois tahun depan susulan pengumuman kerajaan untuk menaikkan ambang pengecualian e-Invois kepada RM1 juta.

Presiden Persatuan PKS Malaysia (Samenta), Datuk William Ng berkata langkah itu adalah keputusan yang tepat pada masanya dan mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap tekanan yang sedang dihadapi perusahaan mikro dan kecil.

“Berdasarkan anggaran kami, peluasan pengecualian ini akan melibati 200,000 lagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). Ramai antaranya beroperasi dengan margin yang sangat kecil dan masih belum mempunyai infrastruktur digital untuk mematuhi e-Invois dalam masa terdekat.

“Bagi peniaga kecil, peningkatan ambang ini memberikan ruang bernafas yang amat diperlukan ketika mereka sedang mengalami kenaikan kos, ketidaktentuan tarif, persaingan yang semakin sengit daripada peniaga asing dalam talian, serta beban pematuhan lain yang tidak dijangka,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Samenta hari ini.

Beliau berkata keputusan itu juga akan membolehkan peniaga kecil menumpukan usaha untuk menstabilkan operasi, meningkatkan produktiviti dan menaik taraf proses dalaman tanpa takut kepada gangguan mendadak.

Tindakan kerajaan itu turut dapat memastikan agenda pendigitalan negara yang lebih luas terus terpelihara, dengan memastikan pelaksanaannya berlaku pada kadar yang praktikal, mampan dan mengambil kira realiti di lapangan, katanya.

“Kami (Samenta) menggesa PMKS agar tidak melihat pengecualian ini sebagai alasan untuk melengahkan automasi dan pendigitalan.

“Sebaliknya, PMKS harus menggunakan tempoh ini untuk memperkukuh amalan perakaunan, menyusun rekod kewangan dengan lebih teratur dan beralih secara berperingkat kepada sistem digital,” katanya.

Ng berkata persediaan awal akan memudahkan pematuhan pada masa hadapan serta membantu meningkatkan kecekapan, ketelusan aliran tunai dan daya saing perniagaan secara keseluruhan.

Pada Khamis lepas, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata kerajaan melalui Kementerian Kewangan (MOF) akan meneliti cadangan untuk menangguhkan pelaksanaan e-Invois Fasa 5 bagi PMKS  yang berpendapatan tahunan RM1 juta dan ke bawah.

Beliau berkata cadangan tersebut akan dibawa ke peringkat kementerian untuk penelitian lanjut.

“Saya akan membawa cadangan ini kepada MOF dan kami akan meneliti cadangan yang dikemukakan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan