KOTA BHARU, 7 Dis (Bernama) -- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Kelantan mencadangkan supaya kerajaan negeri menaja sekurang-kurangnya 20 individu di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menyertai Skim Caruman Perlindungan Sosial Pekerjaan Sendiri (LINDUNG KENDIRI).
Pengarah PERKESO Kelantan Nora Yaacob berkata inisiatif itu mampu membantu peniaga kecil, nelayan, usahawan mikro, penghantar makanan serta pekerja sektor tidak formal yang masih belum mencarum khususnya mereka yang berpendapatan rendah.
Beliau berkata tajaan tersebut bukan sahaja menyediakan perlindungan asas kepada kumpulan berisiko, malah dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan caruman keselamatan sosial bagi menghadapi sebarang kejadian tidak dijangka.
“Kita telah mengadakan libat urus dan perbincangan pada Ogos lalu dengan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perindustrian, Sumber Manusia, Keusahawanan dan Perdagangan negeri Datuk Md Anizam Ab Rahman.
“Menerusi kerjasama ini kita mampu merekodkan sekurang-kurangnya hampir 900 pencarum melibatkan 45 kawasan DUN di seluruh negeri. Setakat ini kita masih menunggu sama ada cadangan ini diluluskan atau sebaliknya,” katanya kepada pemberita pada Program Cakna Prihatin Perkasa Usahawan Mikro Wanita Kelantan Bangkit Berniaga di Kampung Badang, Jalan Pantai Cahaya Bulan hari ini.
Terdahulu, PERKESO Kelantan menerima penyaluran wakalah zakat korporat dan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah lebih RM51,000 daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang diagihkan kepada 20 usahawan mikro.
Nora berkata penyertaan pencarum bagi LINDUNG KENDIRI di negeri ini hanya mencapai sekitar 40 peratus tahun ini, iaitu hampir 1,500 pencarum daripada sasaran asal kira-kira 4,000 pencarum baharu.
Beliau berkata angka itu menunjukkan masih ramai peniaga kecil, penghantar makanan, nelayan serta pekerja sektor tidak formal yang belum mencarum dan terus terdedah kepada risiko tanpa perlindungan keselamatan sosial.
“Pelbagai inisiatif libat urus sedang dipergiat termasuk jelajah kesedaran, program turun padang serta kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendekati lebih ramai pekerja sendiri di seluruh negeri.
“PERKESO berharap lebih banyak penyertaan dapat direkodkan pada tahun hadapan bagi memastikan golongan pekerja sendiri turut menikmati jaringan keselamatan sosial yang komprehensif sebagaimana pekerja sektor formal,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial