WILAYAH - SARAWAK > BERITA

NUR DHIYA AZZALEA MANJA, SUKA BERGURAU - BAPA

07/12/2025 03:25 PM

REMBAU, 7 Dis (Bernama) -- Suasana pilu menyelubungi Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau hari ini, apabila ahli keluarga menuntut jenazah kanak-kanak berusia lima tahun yang lemas di kolam sebuah rumah kelab di Lenggeng, Nilai semalam.

Noor Muhamad Asun, 46, berkata masih terkejut dengan pemergian Nur Dhiya Azzalea kerana anak bongsu daripada empat beradik itu sangat manja.

“Biasanya setiap kali saya di dapur, dia akan datang bergurau dan minta air atau makanan. Sekarang semua hanya kenangan,” katanya semasa ditemui pemberita hari ini. 

Noor Muhamad berkata dirinya bekerja semalam, dan Allahyarham ke rumah kelab itu bersama-sama isteri dan seorang lagi anak untuk menghadiri program tadika di dewan di situ.

Beliau berkata anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Lapan, Mantin.

Dalam pada itu, Pengerusi Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Sg Machang Hilir, Habu Alwazie Bujang, 46, berkata kejadian berlaku ketika program melibatkan 24 kanak-kanak tamat dan hampir separuh tetamu telah pulang.

“Ketika itu, hanya ahli jawatankuasa yang ada untuk mengemas dewan dan beberapa kanak-kanak sedang mandi kolam dengan diawasi penjaga masing-masing,” katanya.

Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata seorang kanak-kanak perempuan lima tahun lemas di kolam sebuah rumah kelab di Lenggeng, di sini pada tengah hari.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa yang menghadiri majlis penyampaian hadiah sebuah tadika dilaporkan hilang daripada pandangan penjaganya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan