WILAYAH - SARAWAK > BERITA

MALAYSIA MUNGKIN PERLU NILAI SEMULA ART, PERUNDANGAN SELEPAS MAHKAMAH AGUNG HALANG TARIF TRUMP

21/02/2026 01:18 AM

KUALA LUMPUR, 20 Feb (Bernama) -- Malaysia mungkin perlu menilai semula Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-Amerika Syarikat (AS) yang ditandatangani Oktober lepas termasuk dari segi undang-undang susulan keputusan terkini Mahkamah Agung AS pada Jumaat.

Mahkamah tertinggi itu menolak tarif AS yang dikenakan secara global oleh Presiden Donald Trump yang berpotensi menyebabkan banyak negara menilai semula perjanjian berkenaan.

Menilai semula perjanjian itu juga mungkin termasuk mendapatkan nasihat undang-undang terutamanya mengenai cara bertindak jika keputusan berkenaan memberi kesan negatif kepada Malaysia.

Sejak memeterai ART pada 26 Okt, 2025, Malaysia berulang kali menegaskan bahawa kedaulatan, dasar autonomi dan kepentingan negara Malaysia tetap dilindungi sepenuhnya di bawah ART Malaysia-AS."

Kedua-dua negara menandatangani perjanjian itu selepas mencapai kata sepakat sejak rundingan bermula pada April tahun lepas, di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat berkaitan.

Dengan pemeteraian itu, perjanjian tersebut bertujuan menstabilkan hubungan perdagangan antara Malaysia dan AS, terutamanya selepas AS memperkenalkan tarif yang lebih tinggi ke atas negara-negara dengan lebihan dagangan yang besar.

Selain itu, ART juga melindungi eksport dan pekerjaan Malaysia dengan memastikan akses berterusan ke pasaran AS serta mempromosikan layanan adil, memastikan kedua-dua pihak mengenakan tarif, akses pasaran dan peraturan perdagangan secara timbal balas (seimbang).

Di bawah perjanjian tersebut, 1,711 barisan produk eksport Malaysia akan menikmati pengecualian tarif apabila memasuki pasaran AS, meningkatkan daya saing harga dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan global.

Terdahulu, Kyodo melaporkan Mahkamah Agung AS menyatakan bahawa penggunaan kuasa darurat oleh presiden untuk mengenakan tarif timbal balas ke hampir semua rakan dagangan Amerika adalah tidak berperlembagaan.

Selain mengekalkan keputusan mahkamah rendah, mahkamah tertinggi itu juga memutuskan Trump telah melampaui kuasa presidennya apabila beliau menggunakan 1977 International Emergency Economic Powers Act untuk mengenakan tarif global secara meluas serta duti berkaitan fentanyl yang dikenakan ke atas barangan dari China, Kanada dan Mexico.

Keputusan oleh mahkamah tertinggi itu disampaikan dalam satu kertas penghakiman sepanjang 170 muka surat.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan