AM

LABUAN CONNECT! BAWA MATLAMAT TRANSFORMASI LABUAN JADI KOMUNITI BERDAYA DIGITAL, INKLUSIF

23/11/2024 11:15 AM

LABUAN, 23 Nov (Bernama) -- Inisiatif Labuan Connect! yang membawa matlamat bagi mentransformasi Labuan menjadi sebuah komuniti yang berdaya digital dan inklusif, dilancarkan hari ini.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Nik Kamaruzaman Nik Husin berkata inisiatif itu bukan sekadar sebuah program semata-mata, malah ia adalah satu visi, gerakan dan satu komitmen teguh Kementerian Komunikasi untuk memanfaatkan kuasa transformatif teknologi demi kebaikan komuniti.

“Labuan Connect! berusaha untuk merapatkan jurang digital, mempromosikan inovasi dan melengkapkan rakyat kita dengan alat dan kemahiran yang mereka perlukan untuk berjaya dalam era digital hari ini. 

“Ini adalah misi inklusiviti, kemajuan dan pemerkasaan kerajaan untuk memastikan Labuan turut berada di barisan hadapan dalam transformasi digital Malaysia,” katanya semasa merasmikan pelancaran Labuan Connect! di Kampung Patau-Patau 1 di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin.

Nik Kamaruzaman seterusnya menggariskan lima objektif utama inisiatif itu, dengan objektif pertama memperluaskan akses digital menerusi peningkatan ketersambungan di seluruh Labuan untuk memastikan semua penduduk, tanpa mengira lokasi atau latar belakang, mempunyai akses kepada sumber yang diperlukan untuk mengambil bahagian dalam ekonomi digital.

Beliau berkata ia juga bertujuan memupuk inovasi dan keselamatan siber dengan memperkenalkan teknologi terkini sambil mendidik masyarakat tentang kepentingan keselamatan siber untuk membina kepercayaan dan daya tahan dalam bidang digital.

Nik Kamaruzaman berkata Labuan Connect! juga bertujuan mempromosi penggunaan internet yang selamat dan celik media dengan memperkasakan individu untuk mengemudi dunia digital secara bertanggungjawab dan berkesan, terutamanya dalam era penyebaran maklumat salah yang meluas.

“Ini adalah inisiatif untuk memperkasa komuniti tempatan dengan menyokong belia, usahawan dan perniagaan tempatan untuk menyesuaikan diri dan berkembang maju menggunakan teknologi, memupuk pertumbuhan dan inovasi,” katanya.

Beliau berkata objektif kelima ialah untuk merapatkan jurang digital dengan memastikan keterangkuman kekal sebagai pusat, memastikan tiada komuniti yang ketinggalan ketika dunia maju dari segi teknologi.

Nik Kamaruzaman berkata inisiatif ini memberi penekanan khusus kepada golongan belia dan usahawan, dengan golongan belia dilihat sebagai generasi digital yang penuh dengan kreativiti dan potensi untuk memacu perubahan, manakala usahawan adalah tunjang kepada inovasi, yang mentakrif semula landskap ekonomi Labuan.

“Melalui Labuan Connect! kerajaan melabur untuk masa depan mereka yang terlibat dengan menyediakan peluang untuk belajar, berkembang dan memimpin,” katanya.

Beliau turut mengiktiraf sokongan yang amat diperlukan daripada kerajaan, sektor swasta serta pihak berkepentingan komuniti, dan beliau turut merakam penghargaan tulus kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Bernama ats sumbangan dan komitmen yang berterusan terhadap usaha ini.

Nik Kamaruzaman berkata dalam komitmen untuk meningkatkan kesejahteraan komuniti tempatan, MCMC telah menjenamakan semula Pusat Ekonomi Digital (PEDi) kepada Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berkuat kuasa 1 Mac lepas.

Beliau berkata sehingga 31 Ogos lepas, 969 pusat NADI beroperasi di seluruh negara, berfungsi sebagai hab penting untuk merapatkan jurang digital dan memperkasakan digitalisasi.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan