AM

NUKLEAR MALAYSIA RANCANG WUJUDKAN BADAN SAMPAIKAN MAKLUMAT TERUS KEPADA PM

23/11/2024 11:42 AM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) merancang untuk mewujudkan satu badan yang berperanan menyampaikan maklumat secara terus berkaitan teknologi nuklear kepada Perdana Menteri menerusi Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 (DTNN 2030).

Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi Nuklear Malaysia Dr Muhammad Rawi Mohamed Zin berkata badan itu juga bertindak sebagai 'suara' untuk disampaikan ke peringkat Perdana Menteri supaya teknologi tersebut tidak ketinggalan ke belakang dan tidak dipandang serong di negara ini.

"Kalau tiada satu pasukan pakar yang mampu memberi pendapat kepada pemimpin-pemimpin kita, mungkin maklumat tersebut tidak sampai," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bagi topik "Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM): Merakyatkan Teknologi Nuklear" terbitan Bernama TV, malam tadi.

Beliau berkata menerusi DTNN 2030 juga, Nuklear Malaysia bercadang untuk menubuhkan satu pusat pengurusan sisa bahan nuklear radioaktif yang lebih teratur dan sistematik.

"Negara semakin maju dengan industri dan sebagainya, penggunaan teknologi dengan bahan-bahan melibatkan nuklear radioaktif semakin banyak, maka kita nak ada tempat dijadikan pusat untuk pengurusan sisa (melibatkan bahan nuklear radioaktif) yang lebih teratur untuk memastikan teknologi nuklear ini lebih selamat digunakan di Malaysia," katanya.

Muhammad Rawi berkata kedua-dua perancangan dalam DTTN 2030 itu penting kerana teknologi nuklear memainkan peranan penting dalam pelbagai sektor sosioekonomi negara terutamanya sektor perindustrian, kesihatan, makanan dan pertanian, selain pengurusan air serta perlindungan alam sekitar.

DTNN 2030 yang dilancarkan pada 20 Sept 2023 merupakan inisiatif strategik pertama kerajaan mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear secara aman ke arah meningkatkan daya saing industri, memperkukuh kesejahteraan rakyat dan memulihara sumber asli serta alam sekitar.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bertindak sebagai kementerian peneraju pelaksanaan dasar berkenaan dengan merangka pembangunan berkaitan sains dan teknologi nuklear manakala Nuklear Malaysia sebagai agensi penyelaras untuk platform kerjasama kebangsaan termasuk projek strategik berkaitan teknologi nuklear.

Nuklear Malaysia juga diamanahkan sebagai peneraju bagi Jawatankuasa Teknikal Teknologi Nuklear Kebangsaan, dengan keahlian pakar teknikal daripada agensi kerajaan berkaitan, institusi negeri, pengawal selia, sektor swasta dan ahli akademik yang berperanan menyelaras, meneliti serta menasihati aspek teknikal berkaitan teknologi nuklear dalam pelaksanaan DTNN 2030.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan