Daripada Samantha Tan Chiew Tieng
BAKU (Azerbaijan), 23 Nov (Bernama) -- Meskipun Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP29) berakhir tanpa kesepakatan penuh, ia tidak sesekali melunturkan komitmen Malaysia untuk terus mengangkat agenda hijau, malah akan memperkukuh peranan ASEAN dalam menangani perubahan iklim secara kolektif.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata walaupun perbincangan di COP29 tidak mencapai kesepakatan penuh terutama dalam isu pembiayaan iklim, Malaysia tetap akan komited dalam usaha memerangi perubahan iklim.
"Sebab kita tahu tanggungjawab kita dalam hal (perubahan iklim) ini. Kita negara membangun tetapi ada cita-cita tinggi dari segi perubahan iklim sebab itu Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menetapkan sasaran sifar bersih menjelang 2050.
"Ini adalah satu kemajuan berbanding dahulu dan ia bukan mudah dicapai kerana perlu pelarasan dari segi dasar. Kita perlu bertindak segera dan mempunyai cita-cita tinggi untuk memastikan negara dapat menjadi kalis kepada perubahan iklim," katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Nik Nazmi berkata pada awalnya terdapat perkembangan positif dalam perbincangan mengenai soal kredit karbon di bawah Artikel 6, namun di peringkat akhir perundingan masih belum mencapai kata putus mengenai pembiayaan.
"Negara membangun termasuk Malaysia masih mengekalkan mesej bahawa negara maju perlu melunaskan janji mereka dalam pembiayaan iklim. Tetapi kita lihat isu ini telah lama sejak 2009 misalnya US$100 bilion setahun yang tidak ditunaikan.
"Sekarang negara maju cuba menolak perkara ini ketika negara membangun meminta jumlah yang lebih besar. Mereka cuba menolak pembiayaan ini dalam pelbagai bentuk lain seperti pinjaman bank. Bagi kita ia tidak menjadi penyelesaian kepada perubahan iklim yang sebahagian besarnya adalah hasil daripada negara maju ketika mencapai pembangunan ekonomi mereka selama ini," katanya.
Ditanya persediaan Malaysia dalam COP30 yang bakal berlangsung di Belém, Brazil tahun hadapan, Nik Nazmi berkata ia merupakan tahun yang penting memandangkan Malaysia menjadi pengerusi ASEAN.
"Kita akan memperkenalkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara yang akan menjadi pengikat dasar dari segi perubahan iklim. Malaysia akan pergi ke Brazil tahun hadapan untuk COP30 sebagai pengerusi ASEAN dan membawa suara serantau yang lebih kuat," katanya.
Beliau berkata ASEAN dianggap sebagai blok dengan potensi besar tetapi masih kurang memanfaatkan kerjasama dalam isu perubahan iklim, oleh itu agenda iklim ASEAN sebagai satu entiti akan diperkukuh memandangkan rantau ini sangat terdedah kepada kesan perubahan iklim.
COP29 menghimpunkan para diplomat dan ketua negara serta kerajaan dari hampir 200 negara telah berlangsung di bandar tepi Laut Caspian dari 11 hingga 22 Nov yang mengangkat tema "Solidariti untuk Dunia yang Hijau" (In Solidarity for a Green World).
Draf sidang kemuncak iklim COP29 antara lain mencadangkan negara maju membayar US$250 bilion setahun menjelang 2035 daripada sasaran sebelumnya sebanyak US$100 bilion setahun yang ditetapkan pada 2009 tetapi tidak pernah dicapai sepenuhnya.
Namun draf itu mendapat kritikan daripada semua pihak yang dikhuatiri akan melambatkan proses mencapai kesepakatan global dalam menangani isu perubahan iklim yang dianggap semakin mendesak.
-- BERNAMA