EKONOMI

KEPIMPINAN MADANI BENTUK ERA BAHARU PEMBANGUNAN, EKONOMI INKLUSIF - KSN

23/11/2024 01:49 PM

KUALA LUMPUR, 23 Nov (Bernama) -- Kepimpinan MADANI menyaksikan pembentukan era baharu pembangunan negara yang inklusif, berintegriti dan produktif, seterusnya memperkukuh prestasi ekonomi dan sosial, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Beliau menyifatkan kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim cemerlang dalam pelbagai aspek pembangunan negara dalam tempoh dua tahun ini.

“Pencapaian ini adalah manifestasi iltizam kerajaan dalam mengangkat taraf hidup rakyat dan meningkatkan keberadaan negara di peringkat antarabangsa,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Nasional Reformasi Awam 2024 di sini hari ini.

Shamsul Azri ketika berkongsi mengenai pencapaian kerajaan MADANI berkata, usaha dan pendekatan bagi memanfaatkan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) di bawah kepimpinan Perdana Menteri mendapat pujian syarikat teknologi gergasi Google. 

Menurutnya Naib Presiden Hal Ehwal Kerajaan dan Dasar Awam Google Karan Bhatia memuji usaha dan pendekatan berani  Anwar dalam bidang AI. 

"Ini memberi manfaat kepada negara kerana Google bersetuju dan berani untuk membuat pelaburan di Malaysia berjumlah US$2 bilion," katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai lawatan Perdana Menteri ke Arab Saudi, Mesir, Peru dan Brazil baru-baru ini yang meningkatkan kerjasama global dan mampu meningkatkan pelaburan dan perdagangan. 

"Apa manfaatnya kepada rakyat? Pelaburan mencipta pekerjaan baharu terutama yang berkemahiran tinggi, lantas meningkatkan gaji pekerja. Peniaga tempatan pula akan merasai kesan limpahan dalam bentuk peluang perniagaan," katanya.

Shamsul Azri juga yakin pembangunan infrastruktur akan meningkat manakala tahap sosioekonomi bertambah baik. 

Menerusi Belanjawan 2025, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur antara 4.8 hingga 5.3 peratus, satu angka yang kukuh, dengan jangkaan defisit fiskal 3.8 peratus, kadar inflasi 1.9 peratus dan kadar pengangguran 3.2 peratus, katanya.

"Ini adalah angka-angka yang baik, mencerminkan tekad kerajaan ke arah pentadbiran lebih cekap," katanya. 

Melangkah ke hadapan, beliau berkata Malaysia telah berada pada landasan yang tepat dalam merealisasikan wawasan untuk menjadi sebuah negara maju dan inklusif seiring dengan matlamat ekonomi MADANI. 

"Langkah proaktif yang diambil oleh Kerajaan MADANI membuktikan bahawa kita bersedia untuk menghadapi cabaran global dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati di persada antarabangsa," kata Shamsul Azri.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera perkhidmatan awam dan swasta yang berganding bahu memperkasa ekonomi sehingga berjaya membawa pelbagai hasil kepada negara.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan