JERTIH, 23 Nov (Bernama) -- Seorang petani tekad mengusahakan tanaman ubi kayu seluas 11 hektar di Kampung Amir di sini bagi menampung permintaan tinggi sepanjang musim tengkujuh ini.
Muhammad Azizan Mat Zin, 31, berkata beliau menjangkakan keseluruhan tanamannya itu akan mengeluarkan hasil lebih 200 tan ubi kayu.
“Pada tahun lepas saya hanya tanam seluas lapan hektar sahaja tetapi saya tambah tiga hektar lagi tahun ini memandangkan jualan tahun lepas dapat sambutan tinggi pelanggan.
“Saya tanam lima jenis ubi kayu iaitu ubi kayu isi putih madu, ubi kayu Indon, ubi kayu kampung, ubi kayu kuning madu dan ubi kayu kuning tapai yang ditanam sejak bulan Mei dan Jun lepas di sekitar Kampung Amir,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kebunnya di sini.
Menurut Muhammad Azizan, beliau menuai ubi kayu bagi musim ini bermula minggu lepas dalam jumlah kecil namun permintaan meningkat mendadak minggu ini susulan hujan hampir setiap hari.
Beliau berkata permintaan terhadap ubi kayu amat tinggi musim ini untuk dimasak dengan pelbagai resipi seperti ubi rebus cicah kelapa, sira, pengat, tonyoh dan pelbagai jenih kuih.
“Saya jual secara pukal kepada pemborong yang datang dari segenap ceruk termasuk dari negeri berhampiran seperti Kelantan dan Pahang selain Terengganu dan jualan runcit di gerai berdekatan kampung saya iaitu di Kampung Pinang.
“Ubi kayu dijual pada harga borong antara RM1.20 hingga RM1.50 sekilogram manakala RM3 bagi jualan runcit,” katanya yang menggaji 10 orang pekerja.
Tambahnya beliau juga menanam jagung manis seluas lapan hektar secara berperingkat yang turut laris dalam musim hujan ini.
-- BERNAMA